10 tahun dalam industri seni, Fendy Bakry akhirnya menerbitkan ‘Matinya Seorang Pahlawan karya Sasterawan Negara, Usman Awang - Utusan Malaysia

10 tahun dalam industri seni, Fendy Bakry akhirnya menerbitkan ‘Matinya Seorang Pahlawan karya Sasterawan Negara, Usman Awang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon Fendy Bakry, melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya apabila buat pertama kali tampil sebagai penerbit teater menerusi naskhah Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan (MSP).
Selepas 10 tahun aktif dalam industri seni, Fendy menyifatkan projek ini sebagai salah satu cara untuk mengetengahkan Persatuan Pembangunan Inisiatif Malaysia (NADIM).

“Teater memang passion saya sejak lama. Dari teater jugalah saya menjadi siapa saya hari ini.
Mengulas cabaran awal, Fendy mengakui perkara yang paling dia fikirkan ialah kritikan yang bakal diterima setelah pementasan dipersembahkan.

“Saya akui takut berdepan kritikan, terutama daripada orang lama dalam teater. Tapi saya terima semua itu sebagai pengalaman dan panduan untuk jadi lebih baik selepas ini.”

Di sebalik naskhah yang bakal ditonton penonton, Fendy berkata cabaran paling besar sebenarnya datang daripada pengurusan dan persiapan teknikal.

“Orang hanya nampak hasil di pentas, tapi tak ramai sedar kerja pengurusannya sangat banyak. Ini pengalaman pertama saya, jadi saya banyak belajar, bertanya dan membuat rujukan.

Fendy yang terkenal menerusi watak Mr. Grey juga tidak menafikan bahawa projek pertamanya ini menuntut pengorbanan besar.

“Masa, tenaga dan kewangan — semuanya banyak digunakan. Tapi saya percaya kalau kita buat sesuatu dengan ikhlas, Allah akan permudahkan. Yang paling penting, saya dapat sokongan keluarga.”

Bagi Fendy, naskhah ini bukan sekadar sebuah pementasan, tetapi karya yang membawanya melihat hidup dengan perspektif baharu.

“MSP mengingatkan saya tentang kehilangan, kekuatan dan perjalanan hidup yang penuh cabaran. Ia membentuk saya sebagai penerbit, sebagai artis, dan juga sebagai manusia.”

Sebagai anak seni, Fendy berharap industri ini terus berkembang selari dengan teknologi, namun tidak mengabaikan warisan Melayu.

“Saya ingin lihat lebih banyak pementasan yang merancakkan industri seni teater di Malaysia.”

Pementasan ini turut mendapat kerjasama JKKNWPKL, dengan sokongan MOTAC dan MaTic, selain rakan strategik seperti UPSI, WARDAH, Dinda.look, Firz Hafiz, TEGAS Broadcast Multimedia, Kantin dan ramai lagi.

Dengan visi dan komitmen yang jelas, Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan menjadi titik permulaan kepada perjalanan baharu Fendy sebagai penerbit teater, sekaligus membuka ruang kepada lebih banyak karya yang bakal menyusul. Kami juga membuka peluang kolaborasi kepada semua yang berminat untuk projek ini.

Dalam perkembangan lain, Fendy turut mengembangkan kerjaya di luar dunia seni apabila kini aktif terlibat dalam bidang latihan industri usahawan mikro dan asnaf. Selain memberi bimbingan kepada golongan berpendapatan rendah dalam menjana pendapatan sendiri. Menurutnya, beberapa tawaran sudah diterima, namun kesibukan mengurus latihan industri menyebabkan beliau memilih untuk menumpukan perhatian sepenuhnya sebelum melangkah ke projek seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN