KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi popular, Bella Astillah memaklumkan bahawa dirinya bakal memakai pendakap gigi (braces) dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah gigi yang sering menyebabkan beliau mengalami ulser mulut.
Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, keputusan itu dibuat selepas mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor gigi dan kini hanya menunggu proses selanjutnya sebelum pemasangan dilakukan.
“Saya akan buat braces, tahu tak Bella dah jumpa doktor. Doktor pun dah hantar simulator,” katanya menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini.
Dalam pada itu, Bella turut menegaskan bahawa dia tidak mengambil hati dengan komen segelintir netizen yang sering mengusiknya berhubung bentuk giginya.
“Tak baik tau cakap saya jongang. Saya okey saja sebenarnya, semua manusia pun tak sempurna,” ujarnya.
Tambahnya, keputusan untuk memakai pendakap gigi bukanlah kerana faktor penampilan, sebaliknya demi menjaga kesihatan mulut yang sering terjejas akibat ulser.
“Saya tak ada niat nak ubah ciptaan Tuhan. Sebenarnya sebab saya selalu kena ulser, dan punca dia adalah daripada gigi saya sendiri,” jelasnya.
Langkah Bella itu turut menerima sokongan ramai peminat yang mendoakan agar proses rawatan tersebut berjalan lancar dan memberi manfaat kepada kesihatan dirinya.










