Sebelum kerja radio, saya hairan mengapa banyak iklan, DJ cakap panjang - Ayu Hot FM - Utusan Malaysia

Sebelum kerja radio, saya hairan mengapa banyak iklan, DJ cakap panjang – Ayu Hot FM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Masyuni Mansor atau lebih dikenali sebagai Ayu, tampil menjelaskan perdebatan yang sering timbul dalam kalangan pendengar mengenai mengapa stesen radio mempunyai terlalu banyak slot iklan.

Menurut Ayu, sebelum berkecimpung dalam dunia penyiaran radio, dia sendiri pernah mempersoalkan perkara yang sama, terutama apabila mahu mendengar lagu tanpa gangguan perbualan DJ dan iklan yang panjang.

“Sebelum bekerja di radio, saya juga tertanya-tanya kenapa banyak sangat iklan dan DJ bercakap panjang. Tetapi bila sudah berada dalam industri ini, barulah saya faham sebab di sebalik semuanya,” katanya di Threads.

Ayu mengakui, pada peringkat awal kerjayanya, dia sering berasa cemas dan takut untuk bercakap terlalu lama di udara kerana bimbang pendengar akan berasa bosan.

“Sampai satu tahap, saya hanya termenung melihat skrin komputer sebab terlalu risau nak bercakap panjang-panjang,” katanya.

Jelasnya, kewujudan slot iklan merupakan tunjang utama kelangsungan operasi sesebuah stesen radio.

Konsepnya mudah, katanya, iaitu klien menggunakan ruang siaran radio untuk mempromosikan produk mereka, seterusnya membayar kepada stesen radio yang menawarkan platform tersebut.

“Klien datang untuk promosi produk, kita siarkan di radio, klien bayar dan stesen radio memperoleh keuntungan.

“Semakin banyak iklan, semakin besar keuntungan. Dalam masa yang sama, kami tetap seimbangkan dengan lagu,” katanya.

Selain iru, Ayu turut menjelaskan bahawa lagu-lagu yang disiarkan di radio telah dikategorikan mengikut kelas tertentu seperti kategori A, B dan C.

Lagu yang sedang tular atau trending pula akan diputarkan dengan kekerapan tinggi atau dikenali sebagai high rotation.

“Kalau lagu itu sedang viral, biasanya ia akan diputarkan dengan lebih kerap. Tetapi selepas tempoh popularitinya menurun, kekerapan putaran akan dikurangkan.

“Setiap lagu juga mempunyai data dan telah diklasifikasikan mengikut kategori masing-masing,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Ayu, semua keputusan dalam penyusunan siaran radio juga dibuat berdasarkan strategi bagi memastikan keseimbangan antara keperluan komersial dan kepuasan pendengar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN