Saya bukan isteri derhaka - Amylea Azizan - Utusan Malaysia

Saya bukan isteri derhaka – Amylea Azizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, kembali menjadi perhatian selepas dia akhirnya membuka kisah  di sebalik keruntuhan rumah tangga yang dibina bersama bekas suaminya yang merupakan seorang warganegara Singapura. 

Selama berbulan-bulan, Amylea memilih untuk berdiam diri. Malah,siapa sangka, di sebalik senyuman dan kerja seni yang berjalan seperti biasa, Amylea rupa-rupanya melalui episod kemurungan yang teruk. 

Tekanan itu dipendam seorang diri tanpa sebarang luahan di media sosial, semata-mata untuk menjaga maruah keluarga kedua-dua pihak. 

Bagaimanapun, setelah benar-benar pulih dan bersedia, barulah penyanyi ini memilih untuk tampil menjelaskan apa yang tersirat. Bersama Pancaindera, Amylea berkongsi cerita pahit itu. 

 

J: Ramai tertanya-tanya mengapa Amylea memilih untuk berdiam diri begitu lama. Mengapa baru sekarang membuka cerita?

A: Saya tidak mahu bersuara ketika saya masih sedih atau marah, kerana saya takut akan terlalu berkongsi atau berkata perkara yang akhirnya saya sesalkan. Banyak hati yang perlu saya jaga,  bukan hanya keluarga saya, tetapi juga keluarga bekas suami. Saya sangat rapat dengan mereka. Bila fikirkan itu, saya memilih untuk memikul semuanya seorang diri sehingga saya benar-benar kuat.

J: Apakah punca sebenar perpisahan? Adakah orang ketiga atau isu jarak jauh?

A: Tidak. Bukan orang ketiga, bukan jarak jauh. Masalah sebenar ialah bekas suami saya belum bersedia menjadi seorang suami. Mungkin sebagai kawan dia baik, tetapi sebagai suami, dia tidak mampu memainkan peranan itu. Saya beri peluang dan ruang, tetapi akhirnya saya sedar saya tak boleh berubah untuk orang lain yang tidak mahu berubah.

J: Apakah yang paling berat untuk Amylea dalam tempoh tersebut?

A: Menanggung semuanya seorang diri. Saya pergi kerja, senyum di depan kamera, tetapi dalam kereta saya menangis. Kadang-kadang hampir tumbang di set kerana terlalu tertekan. Tetapi saya tidak pernah kongsi di media sosial kerana takut disalah tafsir. Saya jaga maruah semua orang, saya simpan apa yang memalukan untuk elakkan fitnah berpanjangan.

J:Adakah keluarga bekas suami mengetahui keadaan sebenar?

A: Ya, mereka tahu semuanya. Dan mereka sebenarnya menyebelahi saya. Mereka tahu saya tidak bersalah dan saya bukan isteri yang derhaka. Saya sangat rapat dengan mak mentua, abang, adik dan anak-anak tiri saya. Mereka juga sedih dengan apa yang berlaku.

J: Amylea ada menyebut ini bukan keputusan yang mudah. Apa yang mendorong akhirnya memilih untuk dilepaskan?

A: Saya bukan jenis wanita yang meminta-minta. Saya tidak minta duit, rumah atau kereta. Saya cuma mahu kehidupan sederhana sebagai seorang isteri. Itu saja. Bila saya lihat tiada harapan lagi dan saya hanya menanggung kesakitan, saya minta dilepaskan supaya saya boleh meneruskan hidup dan mungkin bertemu seseorang yang boleh menjaga saya dengan betul.

J: Bagaimana hubungan Amylea dengan bekas suami selepas bercerai?

A: Pada awalnya kami masih berhubung sebab saya masih rapat dengan keluarganya. Tapi bila saya mula menerima seseorang baru dalam hidup, saya rasa tak adil untuk terus berkomunikasi. Jadi saya jaga batas itu.

J: Jadi adakah ini bermakna Amylea sekarang benar-benar ‘move on’?

A: Ya. Saya ‘move on’ sepenuhnya sebelum saya umumkan apa-apa. Saya tak akan mula berkenalan dengan seseorang jika hati saya masih luka. Sekarang hati saya tenang, saya reda, saya belajar banyak hikmah daripada perkahwinan ini. Cuma saya  ingin tekankan bahawa saya bukan wanita derhaka sepanjang bersama bekas suami.  Saya bukan isteri yang melawan suami atau mengabaikan tanggungjawab. Saya dah buat yang terbaik, dengan penuh hormat, dengan penuh kasih. Saya bukan orang jahat. Saya tidak pernah cuba menghancurkan rumah tangga kami. Saya cuma reda dengan takdir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN