KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Uqasha Senrose mendedahkan bahawa dia banyak menghabiskan masa seorang diri ketika mengandungkan anak sulungnya, Hawra Uqaira.
Katany, ia berikutan suaminya, pelakon Kamal Adli, ketika itu sibuk dengan urusan kerja di luar negara.
Pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 33, berkata, kesibukan suaminya menjalani penggambaran tanpa henti menyebabkan mereka terpaksa berjauhan buat sementara waktu.
“Rasanya semua orang pun tahu yang memang saya seorang diri masa hamil sebab dia (Kamal) kerja outstation back to back,” katanya.
Bintang drama Perempuan Tanpa Dosa itu berkongsi semula rakaman video temu bual bersama pihak media yang memperlihatkan dia gementar menanti kelahiran anak pertamanya itu.
Tindakan Uqasha memuat naik video berkenaan dipercayai susulan terdapat segelintir netizen yang meluahkan rasa kurang senang terhadap coretan terbaharunya mengenai Hawra di media sosial.
Dalam hantaran tersebut, Uqasha seolah-olah memberi bayangan bahawa dia melalui fasa kehamilan secara berseorangan selama sembilan bulan, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.










