Konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ ditunda ke 20 Disember 2025 bawa pesona mewah serta dua hadiah istimewa - Utusan Malaysia

Konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ ditunda ke 20 Disember 2025 bawa pesona mewah serta dua hadiah istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas muncul dalam beberapa rangkaian konsert tanpa henti sejak 2019 termasuk bersama Slam pada Julai lalu, kumpulan Exists kini kembali dengan sebuah konsert berskala premium anjuran JioBuddy.

Konsert istimewa yang diberi nama EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, bakal menjadi konsert penutup tahun 2025 buat kumpulan itu yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad.

Konsert yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober kini ditunda ke 20 Disember 2025, selepas kumpulan Exists dan penganjur, JioBuddy, mencapai kata sepakat untuk memastikan penganjuran yang bukan sekadar sebuah persembahan biasa.

Musa selaku pemain bass Exists turut menjelaskan bahawa konsep persembahan kali ini akan berbeza daripada konsert Exists sebelum ini.

“Konsert kali ini akan menjadi sebuah konsert yang lebih intimate, lebih dekat dan lebih up close and personal yang bakal dirasai oleh semua peminat,” katanya.

Along pula menambah bahawa penganjuran kali ini berada di bawah sentuhan Jennifer Thompson selaku pengarah konsert tersebut.

“Akan ada sesi sembang-bual, bertanya soalan serta kupasan mendalam tentang lagu-lagu hits Exists yang dipadatkan dalam empat buah segmen. Peminat bakal tahu momen-momen sentimental sesebuah lagu sewaktu rakaman, penghasilan hinggalah perasaan yang dibawa hingga kini,” katanya.

Lebih istimewa, Exists turut menyediakan dua cenderahati eksklusif untuk peminat bertuah iaitu satu gitar akustik peribadi milik Along jenama Manuel Rodriguez dari Sepanyol, yang pernah digunakan untuk rakaman lagu Setanggi Syurga, Salam Rindu dan sebuah set dram jenama PDP dengan kerjasama JS Music. Peminat akan dimaklumkan cara penyertaan melalui media sosial, dan hanya mereka yang hadir pada 20 Disember layak dipilih sebagai pemenang.

Bagi Exists, tarikh baharu ini memberi ruang lebih luas untuk persiapan teknikal. Penganjur JioBuddy turut memberi jaminan bahawa konsert ini akan tampil dengan standard premium dari segi muzik, audio serta keseluruhan pengalaman penonton. Selain itu, 100 peminat bertuah akan berpeluang bergambar secara peribadi bersama setiap anggota Exists.

Di samping itu, tiket konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ bagi kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) boleh didapati menerusi www.jiotix.asia. Dalam pada itu, pembeli tiket sedia ada tidak perlu risau kerana tiket mereka kekal sah untuk tarikh baharu.

Selain itu, peminat yang membeli tiket secara bundle pula berpeluang menerima diskaun sehingga 40% untuk pembelian korporat, manakala peluang memenangi cabutan bertuah meningkat mengikut kategori tiket iaitu 3x peluang bagi pembeli tiket Premium, 2x untuk VIP dan 1x untuk Diamond.

Dengan konsep yang lebih intim dan sentimental, EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ dijangka menjadi antara konsert paling istimewa dan berbeza pada penghujung 2025 sebagai sebuah penghormatan buat peminat yang telah menyokong Exists sejak awal perjalanan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN