Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri, kembali dengan sebuah karya mendalam berjudul “Perjalanan”, hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan produser tersohor Indonesia, Andi Rianto. Lagu yang menggabungkan kekuatan vokal Ernie dan sentuhan melodi penuh jiwa Andi itu menjadi antara lagu paling emosional dalam katalog muzik Ernie setakat ini.
“Perjalanan” dihasilkan daripada kisah benar pengalaman hidup, perjuangan dan cabaran yang dilalui kedua-dua artis dalam kerjaya seni masing-masing. Dengan lirik ditulis sepenuhnya oleh Ernie dan muzik oleh Andi, karya ini hadir sebagai refleksi perjalanan manusia yang sarat suka duka.
Menurut Ernie, idea lagu tersebut tercetus sewaktu sesi awal kerjasama mereka.
“Andi minta saya tulis lirik tentang apa yang saya rasa, tentang perjalanan hidup saya. Dari situ semuanya bermula secara natural,” katanya.
Bagi Andi Rianto pula, inspirasi utama dalam penciptaan lagu ini datang daripada Ernie sendiri.
“Inspirasinya adalah Ernie Zakri. Dia sudah melalui banyak pengalaman, dan inilah masa yang tepat untuk dia menyanyikan lagu seperti ‘Perjalanan’,” katanya.
Andi turut menyifatkan proses penciptaan lagu itu sebagai spontan dan organik.
“Saya suka tone dan feeling Ernie. Elemen paling penting dalam lagu ini memang vokalnya,” tambah Andi.
Ernie pula menegaskan bahawa walaupun lagu ini membawa elemen muzik Andi Rianto, identitinya tetap menjadi tunjang utama.
“Sentuhan Andi kuat, tetapi vibe dan penyampaiannya tetap Ernie Zakri,” katanya.
Lebih istimewa, “Perjalanan” turut dipilih sebagai OST drama baharu TV3, Cinta Anak Lorong, sekaligus memberikan warna dramatik kepada jalan cerita drama tersebut.
Ernie berharap lagu ini dapat menjadi ruang untuk pendengar merasa difahami.
“Setiap orang ada perjalanan masing-masing. Saya harap lagu ini menyentuh hati mereka yang pernah melalui kesusahan dan tetap percaya pada sinar di hujung jalan,” katanya.
Sementara itu, Ernie turut merancang sebuah fan meeting khas untuk peminat dalam masa terdekat, bagi mempersembahkan karya-karya beliau secara lebih dekat.
“Perjalanan” kini boleh didengarkan di semua platform digital.










