KUALA LUMPUR : Penyanyi dan penulis lagu yang semakin menyerlah, Julia Duclos, muncul dengan single terbaharu berjudul “Terjatuh Cinta”, sekali gus menandakan kemunculan sulungnya dalam bahasa Melayu.
Lagu bergenre balada itu menampilkan sentuhan emosi mendalam dengan tema cinta, kehilangan serta kekuatan dalam melepaskan sesuatu dengan reda.
Dihasilkan oleh JOEK dan ditulis bersama Danial serta Iskandar, karya ini lahir daripada pengalaman peribadi penyanyi berkenaan yang menjadikan lagu tersebut dekat di hati pendengar.
Menurut Julia, beliau tertarik dengan mesej dan kejujuran lagu itu sebelum mengolah semula melodi agar lebih menggambarkan kisah hidupnya sendiri.
“Bagi saya, Terjatuh Cinta membawa makna tentang belajar mencintai sesuatu dari jauh dan mengetahui bila masanya untuk melepaskan apa yang bukan milik kita. Kadang-kadang kita terlalu berpegang kerana sayang, namun ada kekuatan dalam keputusan untuk melepaskan,” katanya.
Menariknya, rakaman vokal lagu ini dibuat dalam suasana intim di studio dengan persembahan dilakukan secara raw dan spontan, kebanyakannya dalam satu rakaman sahaja bagi mengekalkan keaslian emosi.
“Saya mahu ia kedengaran jujur tanpa terlalu banyak suntingan. Kami hanya betulkan sedikit sebutan, selebihnya kekal seperti rakaman asal,” ujarnya.
Dengan lirik yang menyentuh perasaan serta susunan muzik yang harmoni, Terjatuh Cinta diharap dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada pendengar yang sedang melalui fasa kesedihan. Julia berkata, beliau mahu lagu ini menjadi penguat semangat kepada mereka yang berdepan dilema hati.
Pelancaran single ini turut menandakan permulaan baharu dalam kerjaya Julia apabila beliau kini aktif menghasilkan karya dalam bahasa Melayu dan Inggeris sebagai usaha membina katalog dwibahasa yang menonjolkan kepelbagaian bakatnya.
Selain muzik, Julia turut menyatakan minat untuk menceburi bidang lakonan dan perfileman, sama ada sebagai pelakon atau penyumbang kepada runut bunyi asal, bagi memperluas portfolio seninya.
Lagu “Terjatuh Cinta” kini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Julia Duclos.
								
								
								
											







