KUALA LUMPUR:Aktor Hollywood, Jesse Eisenberg membuat pengakuan mengejutkan ketika mempromosikan filem terbaharunya, Now You See Me: Now You Don’t, baru-baru ini apabila mendedahkan dia bersedia mendermakan salah satu ginjalnya kepada individu yang tidak dikenali.
Pengakuan itu dibuat ketika dia menjadi tetamu dalam sebuah program televisyen di Amerika Syarikat.
“Saya akan mendermakan ginjal saya dalam tempoh enam minggu lagi. Saya serius,” katanya seperti dipetik portal Today,baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai sebab dia mengambil keputusan tersebut, aktor berusia 42 tahun itu sempat bergurau seperti berikut.
“Saya pun tidak tahu kenapa. Mungkin saya telah digigit serangga yang membawa virus yang menyebabkan saya mahu mendermakan organ,” ujarnya berseloroh.
Bagaimanapun, Eisenberg yang memegang watak Danny, seorang ahli silap mata dalam filem itu berkata, dia sudah tidak sabar menunggu tarikh pembedahan walaupun belum mengetahui siapa penerima ginjal tersebut.
“Saya akan melakukan pendermaan altruistik sekitar pertengahan Disember 2025. Saya sangat teruja,” katanya lagi.
Pendermaan altruistik merupakan tindakan menyumbangkan organ atau darah secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
Menurut Eisenberg, langkah itu mampu menyelamatkan banyak nyawa namun hanya boleh dilakukan oleh individu yang benar-benar bersedia.
“Saya percaya ramai orang akan sedar bahawa ia bukan perkara rumit selagi mereka mempunyai masa dan kesediaan,” ujarnya.
Pelakon itu mula mengetahui mengenai pendermaan altruistik kira-kira 10 tahun lalu.
Dia pernah menghubungi sebuah organisasi bagi tujuan tersebut tetapi tidak menerima maklum balas.
Namun, usaha terbaharunya membuahkan hasil apabila beliau menghubungi seorang doktor kenalan sebelum dirujuk ke NYU Langone Health di New York City untuk menjalani prosedur pendermaan.
“Keesokan hari saya berada di hospital menjalani beberapa siri ujian sebelum pembedahan dijadualkan pada Disember nanti,” katanya.
Walaupun pendermaan itu dilakukan secara sukarela, Eisenberg memohon agar ahli keluarganya diberikan keutamaan sekiranya mereka memerlukan ginjal pada masa depan.
Dalam pada itu, Now You See Me: Now You Don’t merupakan filem terbaharu lakonan Jesse Eisenberg yang sekali lagi memegang watak ketua kumpulan silap mata terkenal, The Four Horsemen.
Filem tersebut akan menemui penonton di pawagam seluruh Indonesia mulai 14 November 2025.










