Isu seksi, tolong jangan heret mana-mana selebriti lain - Tabby Dolla - Utusan Malaysia

Isu seksi, tolong jangan heret mana-mana selebriti lain – Tabby Dolla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Dolla, Tabby, merayu agar peminat dan masyarakat tidak mengheret mana-mana selebriti lain dalam polemik berhubung isu pemakaian seksi yang hangat diperkatakan ketika ini.

Menerusi satu hantaran di platform X, Tabby menegaskan bahawa para artis hanya mahu berkarya dan memberikan hiburan terbaik buat peminat.

“Tolonglah bersikap baik kepada para artis. Kami hanya cuba menghasilkan muzik yang kami sayangi dan mencipta sesuatu yang membahagiakan peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Tabby turut merakamkan penghargaan kepada peminat setia mereka, iDollas, yang tidak pernah putus memberi sokongan.

“Kami sayang iDollas dan terima kasih kerana sentiasa berada di sisi kami,” ujarnya.

Terdahulu, penampilan Dolla dalam video muzik terbaharu berjudul Question mencetus perdebatan dalam kalangan warganet apabila ada pihak menyifatkan gaya fesyen ditampilkan terlalu seksi dan mencolok mata.

Susulan teguran tersebut, pendakwah selebriti Asma’ Harun turut menzahirkan pandangan bahawa imej dalam video itu tidak bermoral serta tidak sesuai dengan identiti wanita Muslim.

Ekoran kritikan yang memuncak, Universal Music Malaysia bertindak menarik turun video berkenaan daripada semua platform digital.

Tindakan itu turut diambil selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai isu pemakaian artis Muslim yang tidak selari dengan garis panduan ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN