Finas bangga pencapaian filem Malaysia 2025 - Utusan Malaysia

Finas bangga pencapaian filem Malaysia 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyifatkan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang melabuhkan tirainya pada 1 November lalu sebagai satu kejayaan besar selain mencerminkan kematangan industri filem tempatan serta kekuatan baharu hasil perpaduan warga perfileman tanah air.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, berkata, FFM34 menjadi simbol semangat perjuangan dan kreativiti tanpa sempadan para penggiat seni, termasuk pengarah, penulis, pelakon serta krew produksi yang berganding bahu menjayakan industri filem negara.

“Kejayaan FFM34 bukan sahaja menghibur, malah mendidik dan menyentuh hati masyarakat.

“FINAS berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus memperkukuh usaha menjadikan filem Malaysia jenama yang dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hans turut menegaskan kejayaan FFM34 menjadi bukti keberkesanan strategi dan dasar yang diterajui oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam memperkukuh ekosistem perfileman negara.

“FINAS menghargai visi progresif menteri yang sentiasa mengangkat kepentingan seni dan budaya sebagai wahana pembentukan bangsa. FINAS akan terus memainkan peranan strategik dalam menjayakan aspirasi tersebut,” katanya.

Tahun 2025 turut mencatat pencapaian membanggakan apabila filem Babah dinobatkan sebagai Filem Terbaik di FFM34, manakala filem seram Malam Terlarang meraih kutipan tinggi dan dinobatkan sebagai Filem Seram Terbaik 2025.

Filem Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2 turut mencatat kutipan pecah panggung, menandakan penerimaan positif penonton terhadap karya tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, menyifatkan FFM34 bukan sekadar acara penganugerahan, tetapi manifestasi cinta dan pengorbanan insan seni terhadap industri perfileman negara.

“FFM menjadi platform mempertemukan generasi lama dan baharu dalam satu semangat perjuangan.

“ Ia turut memperlihatkan pengiktirafan terhadap bakat pengarah muda yang kini bersedia membawa filem Malaysia ke pentas global,” katanya.

Antara pengarah muda yang disebut sebagai penerus legasi industri ialah Syafiq Yusof, Syamsul Yusof, Usamah Zaid Yasin, Abhilash Chandra, Adrian Teh, Zulkarnain Azhar, Joel Soh, Andrew Chiew dan Chiu Keng Guan.

Azmir turut menyifatkan FFM sebagai ‘hari raya’ buat warga industri, tempat karyawan meraikan kejayaan, berkongsi inspirasi dan memperkukuh rasa kekeluargaan dalam dunia seni.

“Kejayaan ini membuktikan industri filem negara kini bernafas segar dan bersedia melangkah ke puncak baharu dengan gabungan tenaga muda dan pengalaman lama,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan sinergi antara pembuat dasar, media dan penggiat seni bagi memperkukuh naratif positif terhadap industri filem tempatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) atas peranan strategik dalam memastikan suara seni Malaysia terus ‘didengar, dilihat dan dirasa’ oleh masyarakat.

“Kerjasama erat antara dasar kerajaan dan kekuatan media amat penting bagi memastikan naratif seni bukan sekadar disampaikan, tetapi turut dihayati rakyat.

“Hanya melalui sinergi ini industri filem kita dapat berkembang dengan lebih terarah dan berdaya tahan di pentas global,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN