Dulu saya fikir media sosial hanya untuk mencari rezeki - Anzalna Nasir - Utusan Malaysia

Dulu saya fikir media sosial hanya untuk mencari rezeki – Anzalna Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINTA maaflah, sejak sudah ada anak ini, memang susah untuk saya terima sebarang sesi fotografi.”

Kata maaf itu melaju sahaja terbit daripada mulut pelakon jelita ini yang cukup lama tidak penulis ketemu.

Bukan sengaja, menurut Anzalna Nasir, menyandang status ibu dan isteri pada ketika ini, cukup membuatkan isi hatinya penuh dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi sekali gus menyaksikan dirinya seakan benar-benar menikmati kehidupan sempurna sebagai seorang wanita.

Terlihat diam menjauh daripada dunia lakonan hampir sedekad, Anzalna nampaknya tetap menjadi perhatian peminat.Walaupun tidak lagi muncul dalam sebarang naskhah drama, setiap perkongsian terkininya di media sosial sering mencetuskan perbualan. Malah, ada yang menyifatkannya semakin matang, tenang dan menyerlah dengan cara tersendiri.

“Tidak banyak yang berlaku kebelakangan ini. Saya hanya fokus kepada keluarga dan membesarkan anak-anak. Alhamdulillah, tahun depan kedua-dua anak saya akan bersekolah dan mungkin saya akan kembali berlakon.

“Namun saya belum pasti, saya akan lihat bagaimana nanti. Rasanya, nanti apabila saya ada masa lapang, saya fikir mengapa tidak saya terlibat berlakon untuk sebuah drama?“Hakikatnya, saya pun sedar ramai bertanya setiap kali saya buat siaran langsung. Peminat tanya bila saya akan kembali berlakon. Sebenarnya, saya rindu dunia lakonan, tetapi saya tidak boleh terlalu komited kerana saya ada anak kecil.

“Saya mudah merindui mereka, mungkin kerana saya seorang ibu, dan itu perkara biasa. Saya selalu terlalu memikirkan anak-anak, sebab itu, saya suka berada di rumah bersama mereka. Jika saya keluar beberapa jam, saya cepat-cepat mahu pulang. Saya tidak boleh berada di luar lebih dari tiga jam kerana komitmen kepada keluarga,”tuturnya.

Kongsi Anzalna lagi, dia juga bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang pintar terutama anak sulungnya, Eidrees yang sering menampilkan keletah bersahaja yang menawan hati warganet.

“Ramai puji Eidrees dan suka tengok keletahnya. Saya bukanlah mahu memuji anak sendiri, cuma saya bersyukur atas kurniaan Ilahi. Itu sebabnya penting untuk selalu bercakap dan berinteraksi dengan anak-anak.

“Apabila kita selalu bercakap dengan mereka, kita boleh mengajar mereka dalam masa yang sama. Sebab itu, apabila ada yang kata saya kelihatan menikmati kehidupan sebagai ibu dan isteri, itu memang betul, memang saya sangat menikmatinya.

“Sebab itu, saya tidak pernah rasa stres berada di rumah walaupun setiap hari saya di rumah. Jika saya keluar, sekejap sahaja. Saya lebih selesa berada di rumah dengan anak-anak, suami dan keluarga. Itulah diri saya,”katanya.

Melayangkan pertanyaan tentang kemungkinan berdepan dengan pelakon baharu sementelah agak lama tidak aktif berlakon, Anzalna tidak berselindung, banyak perkara bermain di mindanya.“Kalau dikira-kira, saya berehat daripada dunia lakonan hampir lapan tahun. Jika saya kembali berlakon tahun depan, mungkin ada rasa kekok juga sebab ramai pelakon baru.

“Saya selalu bertanya kepada adik-beradik saya yang masih berlakon tentang keadaan dunia lakonan sekarang. Saya harap kalau saya kembali, kru dan produksi banyak yang masih sama. Mereka juga menyarankan saya kembali dengan syarikat produksi yang dulu.

“Cuma sebagai ibu, saya tidak boleh lagi mengambil episod panjang atau pulang lewat seperti dulu. Sekarang kebanyakan produksi lebih menjaga hal waktu bekerja, jadi mungkin tidak menjadi masalah untuk saya kembali.

“Kalau mahu tahu, anak saya pun sebenarnya tidak tahu apa pekerjaan saya. Saya tidak pernah beritahu dia saya seorang pelakon. Dia cuma tahu saya buat bisnes dan banyak terlibat dalam kerja komersial. Saya mahu dia melalui hidup yang normal tanpa rasa perlu bercerita kepada rakan-rakan bahawa ibunya seorang pela­kon,”ujarnya.

Kuasa suara selebriti

Bukan sekadar selebriti, Anzalna juga kini dilihat sebagai figura yang semakin aktif menyebarkan mesej positif di media sosial.

Bagi pelakon berusia 37 tahun ini, dia percaya, golongan selebriti seharusnya menggunakan platform media sosial masing-masing untuk menyebarkan kebaikan dan manfaat kepada semua pengguna.

Berikutan itu, baru-baru ini, apabila Anzalna membuat hantaran mengenai tindakannya berkongsi rezeki dengan golongan anak-anak yatim, ramai membanjirkan kata pujian buat pelakon itu di ruangan komen.

“Di media sosial, saya suka berkongsi perkara-perkara baik. Saya rasa lebih baik gunakan platform saya untuk kebaikan dan menyebarkan kesedaran daripada membuli atau menyebarkan kebencian. Saya bukan orang yang sempurna, tetapi saya cuba gunakan media sosial ini sebagai ruang untuk menyebarkan sesuatu yang bermanfaat.

“Saya percaya jika kita ajar kebaikan, pahalanya berpanjangan walaupun kita sudah tiada. Memang betul, baru-baru ini saya berkongsi tentang anak yatim. Ramai yang terharu.

“Bila saya melawat rumah anak yatim, saya lihat mereka sangat memerlukan bantuan tetapi tidak ramai yang membantu di luar bulan Ramadan. Bila saya berkongsi di media sosial, barulah mereka menerima pertolongan. Kalau saya tidak bantu buat hantaran, mereka tidak dapat apa-apa. Bukan saya mahu menunjuk, tetapi itu sahaja cara saya untuk membantu,”katanya.

Jelas Anzalna, dia sentiasa terbuka hati membantu golongan anak-anak yatim mengikut kemampuannya. Malah, ada dua buah rumah anak yatim yang dianggap ‘rapat’ dengannya lantaran sering berhubungan baik sehingga ke hari ini.

“Saya anggap mereka seperti keluarga sendiri. Mereka jarang meminta, jadi saya yang perlu bertanya. Pernah bil elektrik mereka hampir dipotong, tetapi mereka tidak beritahu kerana malu. Ramadan memang ramai yang membantu, tetapi selepas itu mereka dilupakan.

“Saya harap semua orang, boleh bantu menyebarkan kesedaran tentang keadaan sebenar rumah-rumah anak yatim ini. Mereka bukan hanya perlu bantuan pada bulan Ramadan. Ekonomi tidak menentu, ramai yang kesusahan. Bantuan tidak semestinya besar, tetapi kesedaran itu penting,”ujarnya.

Sebar kebaikan 

Disebabkan itu, Anzalna menyeru golongan selebriti menggunakan platform media sosial masing-masing untuk menyebarkan kebaikan kerana suara selebriti mudah didengari ramai.

“Dahulu saya fikir media sosial hanya untuk mencari rezeki, tetapi sekarang saya sedar ia juga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Dengan anak kecil kini, saya tidak lagi mampu turun padang seperti dulu untuk membantu mangsa banjir dan sebagainya. Jadi, satu-satunya cara adalah menyebarkan kesedaran melalui media sosial.

“Bagaimanapun, saya tidak suka orang salah faham seolah-olah saya mahu menunjukkan kebaikan. Saya cuma mahu menarik perhatian orang supaya mereka juga membantu. Bila orang lain turut bersedekah kerana apa yang saya kongsi, semua orang dapat pahala, saya, mereka, dan anak yatim.

“Saya tidak mahu mendedahkan perkara yang boleh menimbulkan fitnah, jadi saya berkongsi cara yang lebih berhati-hati. Apa yang pasti, semua ini saya lakukan untuk kebaikan. Ia bukan untuk pujian atau balasan dunia. Apa yang penting adalah niat dan manfaat yang sampai kepada mereka yang memerlukan,”tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN