KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun menyepi bagi memperkukuh asas artistik, kumpulan indie tempatan, Lokarya, kembali mengisi persada muzik arus perdana dengan memperkenalkan semula single berjudul “Deruan”, karya yang dirakam tiga tahun lalu namun kini dilancarkan pada masa yang dianggap paling tepat untuk menzahirkan identiti sebenar kumpulan itu.
Ditubuhkan pada 2019, Lokarya dianggotai lima pemuzik iaitu Shaheth Nair (vokal/gitar), Khairi Hamidi (gitar), Rafael Ahmad (bass), Taka (keyboard) dan Amirul Zailan (dram), yang membentuk bunyi city pop moden dengan gabungan soul dan sentuhan alternatif.
Nama kumpulan itu diinspirasikan daripada perkataan “lokakarya”, membawa makna ruang perbincangan dan kolaborasi serta menjadi simbol kepada cara kerja mereka.
Menurut Shaheth, kewujudan Lokarya sendiri bermula daripada perbualan-perbualan kecil yang berkembang menjadi idea seni.
“Lokarya ini ruang eksperimen kami. Setiap lagu lahir daripada perbualan tentang hidup, hubungan dan pencarian diri, sebelum digilap secara kolektif di studio,” katanya.
Kumpulan itu menegaskan bahawa muzik bagi mereka bukan sekadar produk komersial, sebaliknya proses kreatif yang menzahirkan refleksi emosi dan dialog sesama ahli. Perkara itu menjadi asas kepada bentuk identiti muzik yang ingin mereka bawa.
Mengulas mengenai konsep bunyi, Khairi menjelaskan bahawa Lokarya memilih gabungan city pop kontemporari dengan sentuhan nostalgia Jepun era 80-an, dipadukan visual moden serta lirik yang dekat dengan perasaan.
“Kami mahu bunyi terasa seperti kota yang penuh cahaya, ada kesibukan, tetapi masih menyimpan ruang sunyi yang hanya pendengar dapat rasa,” katanya.
Single “Deruan” yang dirakam ketika Lokarya masih baharu dalam industri kini diperkenalkan semula selepas kumpulan itu melalui proses pendewasaan artistik.
Rafael mengakui mereka menyayangi lagu tersebut sejak awal namun menunggu masa sesuai untuk mengetengahkannya.
“Dulu kami belum cukup matang untuk memperkenalkan ‘Deruan’. Sekarang, lagu ini akhirnya berada di tempat yang sepatutnya,” ujarnya.
Persembahan mereka di RIUH x ASEAN menjadi titik perubahan apabila Lokarya menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung dan peminat baharu.
Taka berkata, pengalaman itu membuka keyakinan baharu kepada kumpulan tersebut.
“Bila orang ramai benar-benar mendengar dan memuji persembahan kami, ia meyakinkan kami bahawa Lokarya ada ruang dalam arus perdana,” katanya.
Kini Lokarya berada pada fasa akhir pembikinan album penuh pertama mereka yang merangkumi perjalanan kreatif sejak 2019.
Album itu turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama pemuzik terkenal, Noh Salleh, yang menyumbang penulisan untuk salah satu lagu penting dalam projek tersebut.
Menurut Amirul, kerjasama bersama Noh dianggap antara detik paling bermakna dalam penghasilan album itu.
“Kami membesar dengan karya beliau. Jadi bila Noh Salleh sudi terlibat, ia bagaikan tanda bahawa haluan muzik kami berada pada landasan yang betul,” jelasnya.
Dalam landskap muzik yang semakin kompetitif, Lokarya berhasrat membina ruang tersendiri tanpa tunduk kepada trend.
Shaheth menegaskan harapan mereka cukup sederhana tetapi bermakna. “Jika suatu hari nanti seseorang mengimbas hidup mereka dan lagu kami menjadi sebahagian daripada memori itu, itu sudah cukup berharga buat kami,” katanya.










