KUALA LUMPUR – Kumpulan genre-bending, Distorted yang dianggotai Sino, Eneyeqay dan Balo tampil dari lapangan muzik bawah tanah dengan memperkenalkan album debut yang dinanti-nantikan, ‘New Material’, sekali gus menandakan detik penting perjalanan seni mereka dalam membentuk hala tuju baharu muzik moden.
Album yang mengetengahkan gabungan tekstur elektronik, unsur eksperimental dan lontaran emosi raw ini mencerminkan keberanian trio tersebut merentas batas kebiasaan muzik arus perdana demi menawarkan pengalaman sonik yang lebih segar.
Menampilkan 16 trek yang disusun seperti naskhah filem, ‘New Material’ membuka tirai dengan rangkaian rap dan hip-hop bertenaga tinggi sebelum beralih kepada seleksi bernuansa emosional serta introspektif.
Karya yang dihasilkan dalam tempoh tiga tahun itu menjadi medan percantuman pelbagai latar, pengaruh dan pengalaman anggota Distorted hingga melahirkan sebuah projek yang sarat eksperimen serta kolaborasi kreatif.
Menurut Sino, proses pembikinan album tersebut menyaksikan mereka melalui fasa jatuh bangun bersama selain menyaksikan bagaimana setiap demo berkembang menjadi trek lengkap yang akhirnya memaknakan perjalanan seni mereka.
“Pendengar-pendengar boleh expect satu nafas baharu. Ia telah menjadi perjalanan yang panjang sejak hari pertama, bekerja dengan individu berbakat dari pelbagai scene, dan saling jatuh cinta dan hilang minat dengan setiap lagu. Melihat demo semalaman berubah menjadi track lengkap, rasanya surreal bila album ini akhirnya dapat melihat cahaya hari,” kongsi Sino.
Dikuatkan oleh dua lagu fokus, ‘Sheesh’ dan ‘Bayangan’, album itu memaparkan keupayaan kumpulan berkenaan mengolah bentuk muzik berbeza tanpa mengorbankan identiti yang dibina.
Lagu berjudul ’Sheesh’ itu mengetengahkan sisi eksperimental Distorted menerusi elemen elektronik berat dan struktur lagu non-konvensional yang menurut Balo, menjadi bunyi rujukan utama identiti kumpulan itu.
“Sheesh” ialah bunyi yang kami mahu orang kaitkan dengan kumpulan ini. Elemen elektronik berat bersama struktur lagu yang tidak konvensional benar-benar menetapkan tona untuk keseluruhan album,” kata Balo.
Dia menambah, “Tak banyak pun yang berubah. Kami cuma terus tambah lapisan demi lapisan dan berseronok dengannya.”
Sebaliknya, ‘Bayangan’ yang diketuai Eneyeqay membawa pendengar meneroka ruang introspektif bertema melepaskan, merawat kenangan dan menerima pergerakan hidup yang tidak pernah berhenti.
Eneyeqay turut menyatakan bahawa lagu tersebut lahir daripada fasa peribadi yang menuntut keberanian untuk mengimbangi antara ingatan dan perjalanan ke hadapan, sekali gus menjadikan ‘Bayangan’ medium mengolah emosi kepada bentuk bunyi.
“Bayangan” ialah lagu yang diungkapkan bagai memikul satu beban senyap yang mengikuti seperti bayang. Ia meneroka ketegangan manis-pahit antara melepaskan dan perasaan yang masih tinggal walaupun sudah cuba bergerak ke hadapan,” ujar Eneyeqay.
Dia menjelaskan lagi, “semua yang terlibat membawa emosi dan kreativiti sendiri ke dalam projek ini. Kami semua melalui fasa yang sama dalam cara masing-masing untuk mencipta lagu ini. Saya harap orang dapat lihat sedikit kisah mereka dalam “Bayangan”. Sama ada ia mengingatkan kepada seseorang yang dirindui, atau masa yang sudah tinggalkan, kadang-kadang lagu membantu kita memproses apa yang kita tak mampu ungkapkan,”.
Secara keseluruhan, album ‘New Material’ mencerminkan tema ketahanan, evolusi dan kejujuran seni yang menjadi asas perjuangan Distorted, sementara kumpulan itu menzahirkan harapan agar album berkenaan dapat menyentuh hati pendengar apabila ia dilancarkan di semua platform penstriman utama pada 14 November 2025.










