PUTRAJAYA: Penyanyi dan komposer terkenal, Cat Farish mendedahkan dia tidak terkecuali melalui fasa menerima bayaran persembahan amat rendah ketika awal penglibatannya dalam industri seni.
Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, 51, berkata situasi itu dianggap lumrah bagi artis baharu yang sedang mencari peluang menonjolkan bakat.
“Zaman mula-mula menyanyi dulu, RM20 seorang pun kami pernah terima. Malah paling murah pernah kongsi lima orang dapat RM20 ketika buat ‘gig’.
“Ketika itu fokus hanya mahu menyanyi. Bila nama semakin naik, barulah bayaran meningkat kepada RM5,000, RM10,000, RM20,000 sehingga kini boleh mencecah RM50,000 bagi satu persembahan,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier di IOI City Mall, kelmarin.
Menurut ahli kumpulan Ruffedge itu lagi, tawaran kecil bukan alasan untuk meremehkan mana-mana penganjur, misalnya pelajar universiti yang mempunyai kekangan bajet.
“Kalau budak universiti panggil dengan bajet RM500 untuk hiburkan 1,000 pelajar, saya akan pertimbangkan. Mereka akan dengar semula lagu saya, itu cara orang lama berfikir,” jelasnya.
Bagaimanapun Cat mengakui wujud pihak yang mengambil kesempatan menawarkan bayaran terlalu rendah atas alasan persembahan amal.
“Ada yang letak RM1,500. Ada orang rasa sedikit, ada yang rasa banyak. Bagi saya, kalau persembahan amal, tulis sahaja Ruffedge Charity pada cek itu dan jadikan ia token.
“Kalau tak setuju, kita boleh tolak. Ada yang betul-betul hanya mampu bayar RM1,500 dan ada yang sekadar ambil kesempatan. Di situlah kebijaksanaan artis diperlukan,” katanya.
Dia menegaskan, setiap penyanyi perlu membina kelas dan standard tersendiri supaya tidak dipandang rendah.
“Lihat saja artis besar seperti Ella atau Datuk M. Nasir. Tidak logik kalau orang tanya mereka untuk buat persembahan dengan bayaran RM1,500. Mereka sudah ada standard.
“Ruffedge pun tiada siapa berani tanya bayaran begitu. Artis perlu bijak dan tahu cara ‘counter’,” ujarnya.
Terdahulu, penyanyi Ariff Bahran mendedahkan pernah ditawarkan hanya RM1,400 untuk menyanyikan dua lagu, sebelum memilih memberi tumpuan kepada kerjaya lain yang lebih menguntungkan.









