PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan pelantikan semula Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi tempoh dua tahun, bermula 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2027.
Dalam kenyataan media, Azmir berkata antara keutamaan penggal keduanya ialah pelaksanaan pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244), yang bertujuan memperkukuh perundangan serta memperkemas tadbir urus industri perfileman negara.
Beliau menjelaskan bahawa pindaan akta itu penting bagi melindungi kebajikan kru produksi, memodenkan sistem pelesenan dan menyokong model pekerjaan kreatif kontemporari, selaras dengan keperluan serta perkembangan industri semasa.
“Fokus kedua ialah Pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025 hingga 2035 yang menetapkan pelan pembangunan 10 tahun membabitkan Malaysia sebagai Hab Industri Kreatif ASEAN termasuk Pemerkasaan IP Monetization dan pasaran eksport.
“Tidak ketinggalan, pembangunan produser dan ‘showrunner’ tempatan, kerjasama filem ‘financing’ usaha sama penerbitan antarabangsa, penyelarasan naratif kebangsaan yang progresif dan kerjasama strategik industri pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Azmir berkata, Insentif Galakan Industri Filem Bernilai RM110 Juta juga diperuntukkan untuk menggalakkan penerbit tempatan dan antarabangsa menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia.
“Daripada jumlah itu, RM10 juta dikhususkan bagi kandungan berteraskan semangat kenegaraan, bagi memperkukuh jati diri dan identiti nasional melalui medium kreatif.
“Selain itu, fokus keempat adalah Dana Belia Kreatif MADANI yang bertujuan melahirkan generasi pencipta kandungan berilmu, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik termasuk sokongan pembangunan bakat kampus dan belia komuniti di seluruh negara,” katanya.
Tambahnya, dalam konteks landskap industri perfileman, Malaysia dianggap berada dalam kedudukan stabil kerana ekosistem pawagam kembali stabil dengan potensi pertumbuhan jangka panjang.
“Platform OTT antarabangsa seperti iQiyi, Viu, Astro dan Netflix terus melabur dalam drama bersiri tempatan dan memanfaatkan insentif FIMI.
“Pada masa sama, siri seperti Bidaah, One Cent Thief dan Nenek Si Bongkok Tiga membuktikan pasaran kandungan Malaysia relevan di peringkat global,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, Azmir menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dah Ahli Perbadanan Finas atas kepercayaan diberikan.
“Ini adalah wajah baharu Finas. Melalui pindaan Akta Finas 1981 dan penambahbaikan DFN, Finas akan memberi perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra industri.
“Kami akan memperkukuh fasiliti teknologi di Hulu Klang sebagai pusat kecemerlangan produksi serta memperluas program infrastruktur kandungan di Sabah dan Sarawak bagi membangunkan Borneo Content sebagai jenama strategik Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Finas komited untuk merakyatkan dan meletakkan industri filem Malaysia sebagai industri yang dinamik, mampan, inklusif dan diiktiraf di persada global. Industri filem ini juga mencerminkan identiti pelbagai bangsa serta menyumbang kepada perpaduan dan ekonomi negara,” katanya.
Sejak memulakan tugas sebagai CEO pada 2023, antara pencapaian Azmir adalah memastikan kelangsungan operasi pawagam dan rantaian perniagaan produksi melalui ‘engagement’ berstruktur bersama penggiat industri dan pengendali panggung, dalam aspek pemulihan ekosistem pasca pandemik.
Terdahulu, Azmir mula memegang jawatan sebagai CEO Finas pada 1 November 2023.










