Anggap Kimbab cipta sejarah mampu mara ke pentas akhir MLS - Shahrol Shiro - Utusan Malaysia

Anggap Kimbab cipta sejarah mampu mara ke pentas akhir MLS – Shahrol Shiro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak dan selebriti terkenal, Shahrol Shiro, memberi kata-kata semangat kepada kumpulan Kimbab yang berjaya melangkah ke pentas akhir program Muzikal Lawak Superstar (MLS) yang akan berlangsung esok.

Kumpulan Kimbab yang dianggotai oleh Nasz Sally, Zulin Aziz dan Maryam Nurr disifatkan sebagai pasukan yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam industri komedi tanah air, khususnya dalam mengetengahkan bakat pelawak wanita.

Sehubungan itu, Shahrol menekankan kepentingan untuk memberi fokus kepada perkara yang berada dalam kawalan berbanding terlalu memikirkan hal-hal di luar kemampuan.

“Ada benda yang kamu boleh kawal dan ada benda yang kamu tak boleh kawal seperti masalah teknikal, masalah mikrofon dan tanggapan orang terhadap kamu. Semua itu bukan dalam kawalan kamu,” katanya.

Menurut Shahrol, perkara paling penting adalah memastikan mutu persembahan berada pada tahap terbaik.

“Kamu kena fokus pada setiap dialog, jalan cerita, prop dan pasukan kamu. Ini adalah pentas terakhir, manfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” ujarnya.

Shahrol turut menyifatkan pencapaian Kimbab sebagai satu penanda aras baharu buat pelawak wanita di Malaysia, selepas kejayaan mereka melangkah ke pentas akhir MLS.

“Tidak pernah kumpulan wanita sampai ke peringkat akhir pertandingan komedi negara dan kalian adalah sejarah itu. Terus berjaya semua,”tulisnya di hantaran video yang sama di Instagram.

Minggu separuh akhir Muzikal Lawak Superstar musim kelima (MLS5) menyaksikan kumpulan Nanas menduduki tempat pertama.

Kedudukan itu sekaligus membuatkan Nanas yang dianggotai oleh Achey, Namie dan Shashic mara ke peringkat akhir MLS5.

Selain Kimbab, pentas akhir MLS juga menyaksikan kumpulan Roda dan Puteh turut bakal merebut gelaran juara esok.

MLS5 dihoskan oleh pengacara versatil, Datuk AC Mizal manakala Datuk Aznil Hj Nawawi, Zizan Razak dan Bella Astillah diberi tanggungjawab sebagai juri tetap.

MLS5 bersiaran secara langsung di Royal Theater Shah Alam, setiap Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN