Menyambung langkahnya sebagai wajah baharu yang semakin menyerlah dalam industri muzik tempatan, penyanyi muda Adrianna Cinta kembali dengan single terbaharu berjudul “Impiana”, edaran Sony Music Entertainment Malaysia. Berbeza daripada karya pertamanya “My Baby” yang lebih romantik dan lembut, Impiana mengetengahkan sisi Cinta yang lebih matang dan reflektif.
Dicipta oleh Syaizul Amal selaku komposer, Ain Maisarah sebagai penulis lirik dan diterbitkan oleh Farouk Roman, lagu ini membawa pendengar menyelami realiti di sebalik impian yang kelihatan indah. Dengan lirik jujur dan penyampaian yang penuh perasaan, Impiana menonjolkan kekuatan vokal serta kedalaman emosi Cinta sebagai seorang artis muda.
Menurut Cinta, lagu ini menggambarkan sisi hidup yang jarang kita akui bahawa di balik impian yang dikejar, ada kenyataan yang pahit.
“Kita semua suka kejar sesuatu yang cantik, tapi untuk capai keindahan itu banyak benda susah yang perlu dilalui. Impiana bukan sekadar tentang impian, tapi juga realiti yang kadang kita tak mahu hadap,” katanya.
Antara bait yang paling menonjol dalam Impiana ialah frasa “the grass is greener on the other side”, yang bagi Cinta menggambarkan perjalanan kariernya sebagai artis muda.
Bagi menyampaikan emosi yang lebih jujur, sesi rakaman dijalankan pada jam 1 pagi atas saranan penerbit, Farouk Roman.
“Saya tidur dulu, kemudian bangun semula untuk dapatkan tone suara yang raspy dan natural. Lagu ini perlukan kejujuran yang tidak dibuat-buat,” katanya.
Di sebalik nada melankolik, Impiana juga menekankan nilai kesyukuran sebagai tunjang kehidupan. Cinta percaya bahawa rasa syukur adalah kunci untuk mengelakkan tekanan, perbandingan dan perlumbaan tidak berkesudahan dalam mengejar impian.
“Kalau tidak bersyukur, kita tidak akan tahu bila masa untuk berhenti. Dari situ datang tekanan dan pertengkaran. Bila belajar bersyukur, barulah kita nampak nilai sebenar setiap usaha,” katanya.
Dengan mesej kehidupan yang dekat di hati anak muda dan penyampaian vokal yang jujur, Impiana hadir sebagai karya penting dalam pembentukan identiti muzik Adrianna Cinta.
“Saya harap Impiana memberi kekuatan kepada generasi muda untuk melihat impian dari sudut yang lebih realistik dan bersyukur dalam setiap langkah,” tambahnya.
Single “Impiana” kini boleh didengarkan di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer bermula 31 Oktober 2025.










