UNIC raikan dua dekad perjuangan dakwah menerusi “This Is UNIC: Live In Concert” - Utusan Malaysia

UNIC raikan dua dekad perjuangan dakwah menerusi “This Is UNIC: Live In Concert”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid tersohor UNIC bakal menghangatkan pentas dengan konsert istimewa “This Is UNIC: Live In Concert” pada 20 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert ini menjadi satu peristiwa bersejarah buat UNIC selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan karya berunsur dakwah dan mesej positif. Selain itu, ia juga merupakan konsert solo penuh pertama kumpulan itu selepas kembali bersatu dengan barisan terkini, iaitu Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.

Dalam pada itu, konsert ini juga bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya membawa penonton menyusuri perjalanan muzik UNIC sejak penubuhan mereka hingga kini. Setiap segmen persembahan akan menampilkan fasa berbeza dalam karier mereka, daripada melodi klasik yang membentuk identiti UNIC sehinggalah ke susunan moden yang lebih segar.

Dengan gabungan susunan muzik moden dan tradisional serta iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, UNIC menjanjikan persembahan yang bukan sekadar memukau, tetapi dihayati sepenuhnya oleh penonton.

Sementara itu, antara lagu ikonik yang bakal dipersembahkan termasuk “Demi Cinta Suci”, “Hanya Tuhan Yang Tahu” dan “Ainul Mardhiah”, yang diberi nafas baharu dalam bentuk susunan muzik segar dan berdinamik.

Selain itu, konsert ini turut menjanjikan kejutan istimewa apabila beberapa artis jemputan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan UNIC bakal turut serta menghangatkan pentas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, En. Nursyaqif Aimer, penganjuran konsert ini adalah tanda penghargaan terhadap ketekunan UNIC dalam perjuangan mereka menyebarkan dakwah melalui muzik.

“This Is UNIC bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis serta peminat,” katanya.

Lebih istimewa, konsert ini turut menampilkan busana eksklusif rekaan Eja Shahril, dengan Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi, manakala Hot FM, Kool 101 MY dan Molek FM menjadi rakan radio rasmi. Selain itu, turut sama menjayakan acara ini ialah Bazli Channel, Lauraent Entertainment, Peduli Insan dan JGX Excellent sebagai rakan strategik rasmi.

Sementara itu, tiket “This Is UNIC: Live In Concert” mula dijual pada 17 Oktober 2025 melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC , dengan harga bermula RM89 hingga RM249.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN