KUALA LUMPUR: Pelakon, Malia Baby atau nama sebenarnya Tengku Nur Kamalia Aisyah Tengku Norkamarulaizan, meluahkan isi hatinya mengenai isu boikot produk yang didakwa menyumbang kepada penindasan dan keganasan terhadap umat Islam di Palestin.
Menerusi hantaran yang dikongsikannya di Instagram, Malia Baby menegaskan dia sudah lebih dua tahun mengamalkan pemboikotan terhadap jenama-jenama terkemuka yang dikaitkan dengan sokongan kepada rejim Zionis.
“Orang suruh boikot sebab duit kita secara langsung membiayai mereka melakukan semua ini. Jenama-jenama besar antarabangsa semuanya penyumbang kepada pembiayaan genosid.
“Kamu semua masih belum sedar-sedar lagi? Sudah bertahun-tahun perkara ini berlaku sehingga saya pun sudah penat untuk terus menyuarakannya kerana apa sahaja akhirnya akan kembali dipersoalkan kepada saya.
“Orang asyik memerhati telefon apa yang saya gunakan, kasut apa, itu dan ini. Untuk makluman, saya sudah memboikot sejak dua tahun yang lalu. Semua telefon saya adalah barangan terpakai yang saya beli melalui Carousell.
“Saya tidak pernah mempromosikan jenama itu, tidak pernah berbicara tentang kelebihannya di media sosial, saya hanya menggunakannya kerana keperluan,”katanya.
Selain itu, jelas Malia, dia juga tidak teragak-agak menegur rakan-rakan sendiri jika ada antara mereka yang tidak memboikot barangan atau produk Israel.
“Bagi saya, jika saya mahu menekankan betapa saya peduli terhadap isu kemanusiaan, saya perlu membuktikannya melalui perbuatan,”katanya.
Dalam pada itu, pelakon tersebut turut menegur rakan-rakan pempengaruh lain agar lebih berhati-hati dan peka terhadap sensitiviti isu ini, apatah lagi mereka mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat.
“Saya tahu susah nak menahan diri bila ada duit. Tapi kena sedar, duit kita itulah yang membiayai penindasan ini.
“Jangan kita buat hantaran dan mempromosi macam tiada hati perut. Ingat, dulu pemimpin Zionis pernah panggil kita anjing. Tidakkah itu memalukan? Kita kena ada maruah,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Malia turut menyeru agar masyarakat Islam lebih berprinsip dalam mempertahankan isu kemanusiaan, bukan sekadar berkongsi hantaran di media sosial tanpa tindakan nyata.
“Kalau boikot ini tidak penting, tak akanlah orang buat kempen dan menyeru berulang kali. Jangan jadi hipokrit kepada ummah.
“Saya mungkin dikritik, orang boleh kata saya acah, tapi saya tetap berpegang teguh dengan pendirian ini,” katanya.