BUKIT JALIL: Status rumah tangga pasangan pelakon, Uqasha Senrose dan Kamal Adli, masih menjadi tanda tanya apabila bintang filem Bisikan Dosa berkenaan memilih untuk mengunci mulut meskipun diasak pertanyaan rakan media.
Ketika ditemui di program MeleTOP malam tadi, Uqasha yang menggenakan busana berwarna kuning cair bagaimanapun dilihat cuba ‘mengelak’ daripada bertemu dengan rakan media yang menanti di studio.
Pelakon berusia 33 tahun itu juga hanya memberikan jawapan ringkas ketika diminta untuk mengulas mengenai keadaannya kini.
“Saya okey, tidak mahu ditemu bual sebab sedang sakit tekak,”katanya.
Sebelum ini, nama Uqasha dan suami, Kamal Adli menjadi bualan warganet apabila didakwa saling tidak mengikuti (unfollow) di Instagram (IG).
Sebelum ini, timbul spekulasi mendakwa hubungan suami isteri itu kini sedang goyah.
Bagaimanapun, Kamal Adli tampil menjelaskan beberapa salah faham antaranya dan Uqasha untuk memperbetulkan kenyataan segelintir netizen yang membuat andaian tidak berasas mengenai kehidupannya.
Spekulasi semakin bertambah apabila Uqasha berkongsi perkembangan terkini mengenai dirinya dan anaknya, Qaira yang sukar mendapat tidur lena akibat batuk teruk dan demam.
Perkongsian itu seperti memberi bayangan hanya dirinya seorang menjaga puteri kesayangannya itu.
Menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya, Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen meluahkan walaupun dirinya tidak mendapat rehat yang cukup, namun dia terus kuat demi menjaga putri sulungnya itu.
Dalam masa yang sama, Uqasha juga tidak dapat menanggung rasa rindu yang mendalam terhadap anaknya berikutan terpaksa ditinggalkan kerana komitmen kerja.
Terdahulu, Uqasha dan Kamal bernikah pada 5 November 2021 dalam satu majlis pernikahan tertutup di Janda Baik, Pahang.
Pasangan itu kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.