Saiful Nizam bangga kemudi majlis perkahwinan diraja

Saiful Nizam bangga kemudi majlis perkahwinan diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail menganggap peluang mengacarakan tiga majlis utama perkahwinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama pasangan, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz di Istana Alam Shah, Klang sebagai satu penghormatan luar biasa.

Saiful Nizam berkata, dia tidak pernah menyangka akan menerima panggilan rasmi daripada pihak Istana Selangor untuk mengendalikan majlis penuh adat dan protokol itu.

“Sewaktu menerima panggilan itu, saya mengambilnya sebagai satu cabaran dalam kerjaya saya.

“Meskipun sudah acap kali menjadi pengacara majlis rasmi mahupun perkahwinan termasuklah melibatkan kerabat diraja. Namun, tanggungjawab kali ini amatlah berbeza kerana individu ini ialah Raja Muda Selangor.

“Saya berpeluang menjadi sebahagian daripada saksi sejarah manis ini. Bagi saya, ini bukan sekadar tugasan biasa, tapi satu amanah besar kerana melibatkan istiadat diraja yang penuh tradisi dan istimewa,” katanya.

Saiful Nizam berkata, walaupun memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang penyiaran dan pengacaraan, dia tetap berasa gementar dan berhati-hati dalam memastikan setiap tutur kata disampaikan dengan tertib sepanjang majlis berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, hasil tunjuk ajar daripada pegawai protokol istana serta rakan pengacara iaitu bekas penyampai berita RTM, Hazleen Abd Aziz membantu memudahkan perjalanan majlis.

“Saya banyak membuat rujukan dan latihan terlebih dahulu supaya tidak tersilap. Malah pengalaman mengendalikan beberapa majlis di istana juga memberi saya peringatan supaya jangan buat silap,” katanya.

Tambah Saiful Nizam, sejak bersara sebagai penyampai berita di TV3 dia kini aktif menjadi pengacara bebas, penasihat komunikasi korporat serta media melalui syarikat miliknya sendiri.

“Saya anggap ini rezeki dan penghormatan yang amat besar daripada Tuhan. Dapat berdiri di hadapan Sultan Selangor dan Permaisuri Selangor serta seluruh kerabat diraja adalah momen yang saya tak akan lupakan sepanjang hidup.

“Ramai yang mesej ucap tahniah. Saya bersyukur untuk setiap peluang dan rezeki,”katanya.

Untuk info, Saiful Nizam Ismail bertindak sebagai pengacara untuk tiga majlis utama iaitu Istiadat Akad Nikah, Istiadat Persandingan dan Santapan Diraja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN