Petaling Jaya: Perkahwinan ahli kumpulan Dolla, Sabronzo, terus menjadi perhatian apabila difahamkan dia dan pasangannya telah sah bergelar suami isteri sejak dua minggu sebelum majlis resepsi berlangsung.
Sebelum ini, foto majlis resepsi Sabronzo tular di media sosial dan mencuri perhatian ramai kerana dia tidak pernah memberi sebarang bayangan kepada peminat mengenai perancangannya untuk mendirikan rumah tangga.
Tidak lama kemudian, penyanyi itu memuat naik beberapa keping foto akad nikah serta resepsi di akaun Instagram miliknya, sekali gus mengesahkan berita gembira tersebut.
Majlis resepsi dikatakan berlangsung di Bali, Indonesia, sebagaimana yang dikongsikan oleh warganet.
Sabronzo, atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli, 30, bernikah dengan pilihan hatinya, Ryan Fieret, yang lebih dikenali sebagai DJ antarabangsa Dash Berlin.
Baru-baru ini, dua anggota Dolla iaitu Angel dan Tabby turut berkongsi video dari majlis tersebut, sekali gus mengesahkan kehadiran mereka memberi sokongan penuh kepada rakan tersayang.
Selain itu, bekas anggota kumpulan itu, Syasya, juga meninggalkan komen di hantaran perkahwinan Sabronzo. Hal ini menunjukkan hubungan baik mereka masih terjalin walaupun Syasya tidak lagi bersama Dolla.
Kumpulan Dolla terkenal dengan lagu seperti, Damelo, Mwa! dan Raya Raya Raya. Syasya mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut pada April 2024 sebelum mendirikan rumah tangga dengan pilihannya.