KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mempersoalkan tindakan penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa, yang merakam semula lagu Sinaran sebagai EP terbaharu yang diberi judul Asmara Dansa.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Nora yang juga balu kepada komposer tersohor Allahyarham Johan Nawawi, menzahirkan rasa terkilan apabila lagu ciptaan arwah suaminya bersama Allahyarham Adnan Abu Hassan itu digunakan semula tanpa rundingan rasmi dengan pewaris.
“Menarik, sebagai pewaris saya cuma nak tahu, siapa beri keizinan untuk lagu ini?
“Saya hubungi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), kata dah bayar pada publisher. Masih tergantung sehingga sekarang,”katanya di Instagram, semalam.
Tambah Nora, isu keizinan dan pembayaran royalti bukan sekadar soal hak cipta, tetapi juga menyentuh kebajikan serta masa depan waris para karyawan yang telah meninggal dunia.
“Untuk pengetahuan semua, kebanyakan karyawan, komposer, penulis lirik, mereka tiada pencen, tiada KWSP dan sebagainya.
“Royalti itulah pencen mereka. Apabila seseorang karyawan meninggal dunia, pewaris berhak mendapatkan harta peninggalan royalti arwah untuk menyara anak-anak yang masih memerlukan.
“Itu adalah harta anak-anak yatim. Jangan kita ambil mudah dan lepas tangan,” katanya lagi.
Terdahulu, Rossa memuat naik video teaser EP terbaharunya Asmara Dansa di media sosial, yang menampilkan versi baharu lagu Sinaran bersama penyanyi rap tempatan MK K-Clique.
Lagu berkenaan yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid itu merupakan karya ikonik hasil gandingan Johan Nawawi dan Adnan Abu Hassan pada era 1980-an.
Sekitar Julai lalu, Nora pernah membangkitkan isi royalti lagu ciptaan arwah suaminya itu atas dasar mahu menuntut bela hasil kerja keras arwah sebelum ini.
Dakwa Nora, untuk lagu tersebut, arwah suaminya hanya memperolehi RM60 sehingga ke hari ini yang diterima oleh pewaris.
Dalam pada itu, setakat ini belum ada kenyataan balas rasmi daripada pihak Rossa atau syarikat rakamannya berhubung isu ini.