KUALA LUMPUR: Dua nama besar dari kumpulan muzik Indonesia, Radja dan Wali, akan bergabung untuk satu persembahan khas bertajuk “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Gabungan nama RadjaWali bukan sekadar sedap didengar, malah membawa makna simbolik kepada penyatuan dua legenda muzik Nusantara yang masing-masing mempunyai kelompok peminat setia di Malaysia.
Konsert ini menjanjikan persembahan luar biasa yang sarat dengan emosi, tenaga dan nostalgia. Antara lagu popular yang bakal mengisi malam istimewa itu termasuk “Jujur”, “Bulan”, dan “Cinderella” oleh Radja, selain “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang” dan “Tomat (Tobat Maksiat)” daripada Wali.
Vokalis Radja, Ian Kasela, meluahkan keterujaan untuk kembali membuat persembahan di Malaysia selepas sekian lama.
“Malaysia selalu dekat di hati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Ia satu impian yang menjadi kenyataan apabila kami diundang untuk beraksi semula,” katanya penuh semangat.
Sementara itu, kumpulan Wali yang dianggotai oleh Faank, Apoy, Ovie dan Tommy turut menyifatkan Malaysia sebagai destinasi istimewa buat mereka.
“Syukur… Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami merindui sambutan mesra peminat serta juadah enak di sini. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan sesuatu yang berbeza,” ujar mereka.
Konsert anjuran Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events, dengan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama, menawarkan beberapa kategori tiket bermula RM177 hingga RM977. Tiket boleh didapati melalui Fantopia.io dan ShopeePay bermula hari ini.