Makan Malam Amal Pink Ribbon 2025 semarak kesedaran Pinktober di Kedah - Utusan Malaysia

Makan Malam Amal Pink Ribbon 2025 semarak kesedaran Pinktober di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bersempena sambutan Pinktober yang diraikan di seluruh dunia sebagai bulan kesedaran kanser payudara, Cancer Survivors Malaysia (CSM) bakal menganjurkan Makan Malam Amal Pink Ribbon 2025 pada 1 November ini bertempat di Grand Alora Hotel, Alor Setar.

Program amal berprestij itu dianjurkan bagi mengumpul dana untuk pembinaan Rumah Komuniti Kanser pertama di negeri Kedah. Ia juga adalah sebuah inisiatif penting yang akan berfungsi sebagai pusat sokongan, bimbingan dan komuniti untuk pesakit serta keluarga mereka.

Majlis makan malam itu dijangka bakal berlangsung meriah diikuti dengan persembahan eksklusif daripada tiga artis lagenda tanah air iaitu Datuk Jamal Abdillah, Nizam Laksamana dan Ramlah Ram, yang bakal tampil bagi menyemarakkan semangat solidariti terhadap perjuangan pesakit kanser.

Pegasas Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal memberitahu pembinaan Rumah Komuniti Kanser adalah simbol sokongan masyarakat terhadap golongan tersebut yang sedang berjuang melawan penyakit itu.

“Berbekalkan pengalaman lebih 10 tahun menyantuni pesakit, kami berharap acara ini dapat menyatukan pelbagai pihak dalam usaha murni ini,” katanya.

CSM juga menyeru orang ramai, sektor korporat serta individu dermawan untuk turut serta menjayakan program ini sama ada melalui pembelian meja amal atau sumbangan bagi membantu merealisasikan impian pembinaan pusat komuniti tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sumbangan atau tempahan meja amal, orang ramai boleh hubungi Sekretariat Cancer Survivors Malaysia, Puan Shafinaz di talian +6016-304 4579 atau email, [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN