Petaling Jaya: Selepas kejayaan lagu “Masa” bersama Fahimi, penyanyi dan penulis lagu Malaysia, NAKI terus melebarkan sayapnya ke seberang.
Kali ini dia berkolaborasi dengan penyanyi yang juga penulis lagu dari Indonesia, Mitty Zasia, yang pernah tular di Malaysia menerusi lagu “Yang Lain Boleh Hilang Asal Kau Jangan”.
Single terbaru mereka ini berjudul “Lepas Pegangan” menjadi simbol pertemuan dua budaya muzik serantau.
Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Mitty Zasia dan NAKI, menyatukan dua gaya penulisan yang berbeza tetapi saling melengkapi.
Mengangkat tema melepaskan, menerima dan berdamai dengan kenyataan, “Lepas Pegangan” bukan sekadar lagu patah hati. Ia hadir sebagai ruang refleksi untuk setiap pendengar menemukan tafsiran sendiri.
Uniknya, kolaborasi ini lahir secara spontan selepas NAKI yang ketika itu berada di Yogyakarta bagi sebuah ‘writing camp’ sempat berkunjung ke studio Mitty. Pertemuan ringkas itu akhirnya melahirkan sebuah projek bersama.
Proses rakaman penuh dilakukan di Yogyakarta memberi pengalaman yang cukup unik buat NAKI.