Petaling Jaya: Selepas hampir dua dekad menyepi, band rock alternatif terkenal, Cradle bakal mengubat rindu peminat dengan konsert istimewa “Cradle Live!” yang akan berlangsung pada 14 November ini di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Rasa Karya itu diadakan bersempena pelancaran album studio ketiga kumpulan berkenaan berjudul Hela Nafasku, sekali gus menandakan kemunculan semula mereka dalam industri muzik tanah air selepas 20 tahun.
Lebih istimewa, persembahan tersebut turut menampilkan legenda rock tanah air, Datuk Ramli Sarip, sebagai tetamu khas, dengan tiket berharga RM250 (VIP) dan RM160, lengkap dengan bufet makan malam untuk para peminat yang hadir.
Pengasas dan pemain gitar utama Cradle, Addy Rasidi, berkata konsert itu bukan sekadar meraikan album baharu, sebaliknya simbol kepada kelangsungan legasi Cradle yang pernah menjadi fenomena pada era 90-an.
“Hela Nafasku mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan ia adalah keraian buat kami. Paling bermakna, album ini hadir ketika Cradle menyambut ulang tahun ke-30 penubuhan kami. Selepas lama ‘berhibernasi’, akhirnya Cradle kembali untuk generasi baharu,” katanya.
Album Hela Nafasku, yang diterbitkan di bawah label Rasa Karya milik Datuk Ramli Sarip, memuatkan 11 lagu baharu dengan gabungan karya Addy dan vokalis baharu kumpulan itu, Eiz Mohd.
Rakaman dijalankan di Studio 47, Singapura dan Sonic, Malaysia, dengan Addy turut bertindak sebagai produser, pengarah artistik serta penyusun muzik.
Menurut Addy, perjalanan menghidupkan semula Cradle tidak mudah kerana perlu mencari barisan pemuzik baharu selepas beberapa kali bertukar anggota. Kini, Cradle tampil dengan Eiz Mohd (vokalis), Zul Wahab (bes) dan Adha Lizam (dram).
“Adha, pada usia 29 tahun, memberi nafas segar dengan energinya. Zul pula, walaupun dikenali sebagai juruteknik gitar, punya bakat luar biasa. Saya percaya gandingan kali ini paling mantap dan penuh jiwa,” ujar Addy.
Cradle sebelum ini pernah mencipta nama melalui album sulung Gurindam Keluli (1996) dan album kedua Ceritera Awan (2008) yang meraih Lagu Terbaik dan Album Terbaik Tahun 2008 di Anugerah Planet Muzik menerusi lagu hits Ayu.
Sementara itu, Eiz mengakui peluang untuk menjadi sebahagian daripada Cradle merupakan satu tanggungjawab besar, namun yakin dengan hala tuju baharu kumpulan tersebut.
“Cradle membawa satu warna muzik yang tidak dilakukan oleh band tempatan lain. Kami mahu generasi kini merasai semangat dan jiwa Cradle dalam bentuk yang segar,” katanya.
Tiket untuk “Cradle Live!” kini boleh didapati melalui laman www.iLassoTickets.com/cradlelive atau dengan menghubungi talian +6011-1329 7822.










