Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, untuk melaksanakan Hari Muzik Negara sebagai satu usaha memberi pengiktirafan kepada seluruh penggiat muzik tanah air.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez menyifatkan inisiatif ini sebagai satu langkah yang amat dinantikan sejak sekian lama oleh para pemuzik, komposer, penyanyi, tenaga teknikal dan seluruh warga industri muzik tempatan.
“Ini bukan sekadar sambutan simbolik, tetapi satu titik mula dan satu kick-off penting untuk terus memartabatkan industri muzik negara. Kita tidak perlu menunggu suasana industri benar-benar sempurna untuk melaksanakannya, kerana Hari Muzik Negara sendiri boleh menjadi pemangkin untuk mendidik rakyat tentang nilai muzik dan merakyatkan muzik kepada masyarakat,” katanya.
Freddie turut menambah bahawa pengiktirafan sebegini akan membantu masyarakat menghargai sumbangan para pemuzik serta mewujudkan suasana yang lebih positif dan bersemangat dalam ekosistem muzik tanah air.
“Hari Muzik Negara ibarat hari raya buat seluruh penggiat muzik, daripada artis sehinggalah pelajar, tenaga pengajar, serta institusi pengajian tinggi yang menawarkan jurusan muzik. Ia satu bentuk penghargaan dan motivasi kepada semua yang menjadikan muzik sebagai kerjaya dan perjuangan hidup,” katanya lagi.
Dalam pada itu, KARYAWAN komited dan percaya, dengan pelaksanaan Hari Muzik Negara, Malaysia bakal mempunyai satu platform rasmi yang dapat menghimpunkan suara industri, meningkatkan kesedaran terhadap hak dan royalti, serta memperkukuh peranan muzik sebagai komponen penting dalam ekonomi kreatif negara , serta mengambil contoh “Hari Sukan Negara” yang telah berjaya menyatukan rakyat melalui aktiviti kesukanan.
“Sudah terlalu lama kami menantikan inisiatif seperti ini. KARYAWAN menyokong penuh dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk memastikan Hari Muzik Negara ini menjadi kenyataan,” ujar Freddie mengakhiri kenyataan.










