SHAH ALAM: “Rasa macam baru semalam saya melahirkan dia…”.
Demikian luahan pelakon, Rozita Che Wan, apabila mengenang detik pertunangan anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, 29, dengan pilihan hati, Auni Ikhwan, 26.
Majlis pertunangan yang berlangsung pada 25 Oktober lalu di Lantera Venue, diadakan secara sederhana dengan tema warna pastel dan dihadiri kira-kira 500 tetamu, termasuk ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua pihak.
Menurut Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, dia reda dan menerima dengan hati terbuka melepaskan anak sulungnya untuk memikul tanggungjawab baharu sebagai suami kelak.
“Menjadi anak sulung hingga bergelar abang kepada dua adiknya, Ammar umpama pelindung kepada saya dan keluarga. Kini, tibalah masanya dia membina kehidupan sendiri.
“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, mereka akan disatukan pada 26 Jun tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Che Ta, dia turut memainkan peranan dalam membuat persiapan majlis berkenaan termasuk hal berkaitan pakaian, dulang hantaran serta pemilihan lokasi.
“Setiap cadangan daripada Ammar dan keluarga sebelah perempuan tetap diambil kira.
“Keluarga pihak perempuan juga meminta agar wajah tunangnya tidak didedahkan terlebih dahulu, dan kami menghormati permintaan itu,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan sama ada pasangan itu akan menetap bersamanya selepas mendirikan rumah tangga nanti, Che Ta memilih bersikap terbuka.
“Saya dan suami tidak kisah jika mereka mahu tinggal bersama selepas berkahwin. Lagipun, rumah kami memang sentiasa meriah dengan keluarga.
“Namun, jika mereka ingin hidup berdikari, saya tetap hormati keputusan itu,” katanya yang anggun mengenakan busana rona kuning lembut rekaan Ezuwan Ismail, dengan sentuhan solekan oleh Otong Danish.
Dalam pada itu, kakak kepada pelakon Ayu Raudhah itu menitipkan nasihat agar Ammar dan Auni menjaga diri serta hubungan sepanjang tempoh pertunangan.
“Fasa bertunang ini orang kata ‘darah manis’. Jadi saya harap mereka sama-sama menjaga batas, emosi, dan komunikasi antara dua keluarga.
“Semoga hubungan ini kekal hingga ke jinjang pelamin dan seterusnya beroleh rumah tangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah,” ujarnya.
Che Ta yang kini kembali aktif dalam dunia lakonan menerusi drama Bahagia Yang Tertangguh arahan Osman Ali, turut berkongsi rasa rindu selepas hampir dua tahun berehat daripada bidang seni kerana menumpukan perhatian kepada perniagaan dan sesi jualan langsung di TikTok.
“Tahun ini saya kembali ke set penggambaran walaupun perlu korbankan masa untuk ‘live’ jualan. Mujur ada staf membantu menguruskan perniagaan.
“Insya-Allah, saya akan muncul dalam filem Anak Mami Jarum Dalca Cinta Kerabu arahan Datuk Prof. Dr. A. Razak Mohaideen tidak lama lagi,”jelasnya.
Untuk rekod, Ammar kini bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan manakala Auni pula bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta.
Majlis pertunangan itu turut menampilkan Hunny Madu sebagai pengacara dan Pencetus Ummah (PU) Amin yang membacakan doa keberkatan.
Pereka fesyen terkenal Man Kajang pula diberi tanggungjawab menyediakan dulang hantaran bagi kedua-dua pihak.










