KUALA LUMPUR: Keunikan budaya dan pesona pelancongan Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan apabila Pusat Pelancongan Islam (ITC) dengan kerjasama Persatuan Pengembara dan Agensi Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) menganjurkan program Huanying Lai Malaysia! Discovery Familiarisation Trip.
Program tersebut bersempena persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Program selama tujuh hari itu menghimpunkan seramai 76 pempengaruh dari China yang terdiri daripada usahawan, ejen pelancongan, pemimpin komuniti dan personaliti media sosial dari 13 wilayah.
Mereka dibawa menjelajah pelbagai destinasi menarik dari Kedah hingga ke Putrajaya bagi merasai sendiri keindahan alam semula jadi, warisan serta keramahan rakyat Malaysia.
Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Masjid Zahir di Kedah, pemandangan sawah padi di Sekinchan serta mercu tanda Masjid Putra di Putrajaya yang mana setiap satu mencerminkan keunikan Malaysia yang berbilang budaya dan penuh nilai kemanusiaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata program berkenaan merupakan langkah strategik memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–China yang telah terjalin lebih lima dekad.
“Lawatan seperti ini bukan sekadar promosi pelancongan, tetapi menjadi jambatan budaya yang mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Dengan merasai sendiri keindahan dan keunikan Malaysia, para peserta kini mampu berkongsi pengalaman itu kepada komuniti mereka di China,” katanya.
Pemangku Ketua Pengarah ITC, Nur Alyssa Coraline Yussin, pula menegaskan bahawa Malaysia kini diiktiraf sebagai destinasi mesra Muslim terbaik dunia selama 10 tahun berturut-turut.
“Kekuatan Malaysia terletak pada keseimbangan antara budaya dan kemesraan rakyatnya. Melalui program pengiktirafan seperti Muslim-Friendly Accommodation Recognition (MFAR) dan Muslim-Friendly Tourism Guide (MFTG), kita memastikan pengalaman pelancong sentiasa inklusif dan menyeluruh,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama strategik ini menjadi pemangkin kepada usaha mencapai sasaran 47 juta pelancong antarabangsa menjelang VM2026.
Sementara itu, Presiden BUMITRA MALAYSIA, Dr. Wan Muhamad Adam Norudin, berkata inisiatif tersebut bukan sekadar memperkenalkan destinasi pelancongan, malah menghidupkan ekosistem pelancongan akar umbi negara.
“Peserta berpeluang mengenali keunikan makanan tempatan, tapak warisan dan komuniti setempat. Ia turut membuka ruang kepada pengusaha kecil menikmati limpahan ekonomi secara langsung,” katanya.










