KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengarah terkenal, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi, menafikan dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial kononnya dia telah menceraikan isterinya, Nora Asikin Rahmat.
Mawi menerusi hantaran di Instagramnya semalam melahirkan rasa hairan dan kesal terhadap sebuah laman Facebook tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu itu sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.
Malah, menerusi hantaran yang dimuat naik secara ringkas di akaunnya, Mawi turut menyebut mahu menyaman laman tersebut sebanyak RM150 juta.
“Apa benda ini? FB Cahya Icha, apa pasal bikin ini cerita? Yang komen pun…. Adoiii.. Saman RM150 juta onz!” tulisnya.
Hantaran Mawi di akaunnya itu turut mendapat respons daripada rakan selebriti lain yang hairan dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab terbabit.
Pengacara televisyen dan penceramah bebas, Amin Idris, tidak menolak bahawa tindakan individu yang mengendali laman tersebut kemungkinan sekadar mahu meraih perhatian.
“Gila. Samada tak cerdik atau mmg sengaja nakkan perhatian. Maka mendapatlah dia. Yang komen pun satu masalah, menulis hanya kerana
‘dengar cerita’. Mereka lupa amaran Nabi ‘Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan (menyebarkan) setiap apa sahaja yang dia dengar’,”katanya.
Tidak cuma itu, penyanyi rap, Kmy Kmo juga turut meninggalkan komen di akaun Mawi bagi meluahkan pandangannya.
“Ini adalah salah satu cara akaun palsu atau scammer cari duit dari jumlah klik atau jumlah pengguna lain singgah ke artikel yang direka.
“ “See more” link biru yang kita nampak itu adalah pautan yang akan bawa kita ke satu laman sesawang dimana disana tempat bayaran mereka akan dikira.
“Mereka akan dibayar mengikut jumlah klik dan jumlah orang yang masum ke laman tersebut. Hati hati, stail macam inu banyak di Facebook,”katanya.
Terdahulu, laman dengan tanda nama Cahya Icha telah mengeluarkan kenyataan palsu mengenai Mawi yang didakwa telah menceraikan isterinya.
Kenyataan tersebut menyebut Mawi sah telah jatuhkan talak kepada isterinya juga seorang pelakon terkenal berpunca dari… .
Perkara itu turut mendapat respons pelbagai daripada warganet yang terpengaruh dengan berita tidak benar itu.