Sore: Melihat kata 'sementara' dalam tiga fasa - Utusan Malaysia

Sore: Melihat kata ‘sementara’ dalam tiga fasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASTI tidak mudah bagi seorang Sore, melihat suami yang dicinta rebah di depan mata. Kerinduan membuat seorang isteri tidak lagi mempercayai waktu adalah titik-titik linear tapi paradoks cukup misteri untuk berteka-teki.

Dia cuba merasai Jonathan masih ada dengan membuka kembali diari, menginjak tanah-tanah, mengikut salju, deru angin yang pernah dilalui suaminya. Gelung masa atau time loop Sore bermula ketika air matanya tumpah di Antartika, di mana garis bujur bumi bertemu yang tiada zon waktu di sana.

Pengarah, Yandy Laurens membuka Sore: Isteri Dari Masa Depan (Sore) dengan ayat cukup ikonik, diambil dari siri web popular yang terbit pada 2017, ‘tahu kenapa senja menyenangkan? Kadang ia merah merekah bahagia, kadang dia hitam gelap berduka. Tapi langit selalu menerima senja apa adanya’. Penutup filem ini, saya jangka perlu menjawab siapa Senja dan siapa Langit yang dimaksudkan.

Yandy terkenal dengan naskhahnya yang suka bereksperimen dengan konsep, untuk Sore, dia membancuh romantis dengan konsep time loop (bukan time travel). Gelung waktu itu berputar bukan kerana alat atau mesin, tapi diari dan rintih seorang isteri.

Dalam ulasan kali ini, saya cuba melihat Sore berbahas tentang waktu dan kesementaraan dari lensa falsafah Gilles Deleuze. Ahli falsafah Perancis itu percaya masa adalah proses yang cair, dicipta semula serta boleh dilihat dengan tiga sintesis; habitude, memory dan eternal return.

Waktu menjadi karakter dalam filem ini, membenarkan Sore (Sheila Dara) bangun di sisi Jonathan/Jo (Dion Wiyoko) tiap pagi, memulakan kitaran habitude – hari sama berulang kali agar Sore dapat menunaikan hasrat menghalang kematian Jo jika dia tidak merokok dan minum arak. Kita melihat bagaimana karakter Sore berkembang selepas berjalan dalam loop berkali-kali.

Sore melewati loop dengan kekecewaan serta pengajaran bahawa dia tidak boleh membuat Jo berhenti rokok dan minum arak. Ketika dia lari dari Jo di loop yang entah keberapa, dia bertemu seorang lelaki di kedai baju tempatnya bekerja, meyakinkan seseorang tak berubah kerana takut, tapi dicintai.

Sore kembali menyelamatkan Jo dengan kerangka fikir itu. Tapi Sore lupa bahawa dia tidak boleh mengubah masa lalu, rasa sakit dan kematian.

Namun bukanlah cinta selalu membuat kita sedikit gila dan keras kepala?

Tapi waktu juga mempunyai aturannya sendiri, durasi yang diberikannya kepada Sore untuk berteka-teki sudah tamat. Sore perlu sedar bahawa seperti cinta dan keindahan, ‘kesementaraan’ juga wujud di dunia.

Menerima luka adalah momen yang mengeluarkan Sore dari loop yang diinginkannya. Tapi waktu menjanjikan Jo akan berubah walau kematian akan tetap ada di hujungnya.

Secara teknik, Sore mempunyai semua ciri yang ada untuk struktur sebuah filem time loop yang baik. Namun begitu, secara peribadi saya masih merasakan ada rencah yang kurang. Filem ini seolah-olah hanya menunjukkan Sore sahaja yang berjuang, dia yang menjadi ‘Langit’ menerima suaminya apa adanya sedangkan yang sepatutnya terjadi sebaliknya – seperti ayat pembuka filem ini.

Walaupun gaya bercerita filem ini begitu memukau, namun tema refleksi yang dibawa dalam cerita ini tiada yang benar-benar baru. Juga sebagai penonton bukan warganegara Indonesia, saya berharap filem ini dapat menonjolkan setidaknya sedikit citra Indonesia yang saya percaya, pasti ada perbahasan tentang masa dibincangkan dalam mitos-mitos dan tradisi mereka yang kaya budaya.

Struktur filem ini dibikin dengan kemas. Namun adakah ia filem yang cantik? Ya. Adakah ia filem yang menyentuh? Sesekali ya dan tidak. Adakah ia filem yang seronok untuk ditonton untuk kali kedua? ya, walau bukan untuk saya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN