Sharifah Haneesya terlupa pernah menang anugerah ABP

Sharifah Haneesya terlupa pernah menang anugerah ABP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti media sosial, Sharifah Haneesya, mengakui terharu apabila namanya diumumkan sebagai calon kategori Pelakon Pembantu Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) bagi edisi terbaharu terutama selepas sekian lama merasakan dirinya seakan-akan tenggelam daripada perhatian industri hiburan tanah air.

Menurut Sharifah, sebelum ini, dia sendiri pernah meraih trofi ABP pada usia 19 tahun, namun kemenangan bersejarah itu seolah-olah tidak dapat dinikmatinya berikutan ketika itu hidupnya dihimpit pelbagai kontroversi.

“Ketika itu orang lebih banyak bercakap tentang isu peribadi saya, bukannya kemenangan tersebut. Sampai satu tahap, saya sendiri pun terlupa pernah memenangi anugerah sebesar itu,” katanya.

Mengimbas semula, pelakon drama Dia Imamku itu pada mulanya berasa kecewa apabila namanya tiada dalam senarai pencalonan awal.

Namun, katanya, segalanya berubah apabila dia dijemput ke program hiburan Melodi minggu lalu dan dimaklumkan bahawa dirinya tercalon.

“Saya benar-benar terkejut. Tidak sangka, terutama selepas memberi sepenuh komitmen terhadap watak Dahlia dalam drama itu, watak paling mencabar sepanjang karier saya.

“Dahlia seorang yang bimbo, hodoh dan lurus bendul, sangat berbeza daripada diri saya. Saya letak 200 peratus usaha sebab saya janji dengan diri sendiri kalau ambil watak ini, saya nak buat sampai menang anugerah lagi.

“Tapi bila tengok senarai calon dan nama saya tak ada, memang sedih gila. saya fikir, okeylah, tak ada rezeki lagi tahun ini,”katanya.

Haneesya menambah, pencalonan itu dirasakan sebagai satu peringatan agar dia tidak mudah berputus asa.

“Saya anggap ini rezeki dan doa daripada ibu serta orang yang menyayangi saya. Ia mengingatkan saya bahawa perjuangan dalam bidang seni ini masih panjang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN