Pamungkas tetap teruskan konsert walau baru kehilangan bapa - Utusan Malaysia

Pamungkas tetap teruskan konsert walau baru kehilangan bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular dari Indonesia, Pamungkas, tetap meneruskan pementasan Konsert Panggung Purnama yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur esok, meskipun baru sahaja kehilangan bapanya beberapa hari lalu.

Menurut penyanyi bernama penuh Rizki Rahmahadian Pamungkas, 32, pemergian bapanya, Yeos Heru Supangat, amat dirasai, namun beliau memilih untuk terus tabah dan melihat ketentuan Ilahi itu sebagai sebahagian daripada perjalanan kehidupan.

“Perasaan sedih itu memang ada. Sebagai anak, kehilangan seorang ayah sangat menggoncang jiwa. Namun dalam situasi ini, saya percaya saya perlu lebih kuat dari segi rohani.

“Sejak kecil, saya diajar untuk memahami bahawa setiap insan pasti akan kembali kepada-Nya. Saya anggap ini sebagai satu fasa kehidupan yang harus dilalui semua orang – termasuk saya suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sesi tandatangan buku pertamanya Solitaire di The Royale Chulan, semalam.

Berkongsi kenangan terakhir bersama arwah bapanya, Pamungkas meluahkan rasa syukur kerana sempat menemani bapanya pada saat-saat akhir, sesuatu yang dianggap sebagai nikmat yang tidak ternilai.

“Salah satu ketakutan saya ialah jika ayah pergi ketika saya berada jauh di luar negara. Tetapi aturan Allah itu indah, ayah menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, dan saya berangkat ke sini pada Khamis.

“Tujuh harinya pula jatuh pada Isnin selepas saya pulang ke tanah air. Semua itu membuatkan saya yakin bahawa segala yang berlaku sudah ditentukan oleh-Nya,” jelasnya.

Untuk makluman, bapa Pamungkas menghidap strok selama empat tahun sebelum meninggal dunia pada usia 70 tahun pada 23 September lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN