PUTRAJAYA: Pelakon popular, Zul Ariffin mengakui bentuk fizikalnya agak berisi ketika menjalani penggambaran filem aksi terbaharu, Magik Rompak arahan sutradara terkenal, Adrian Teh.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 39, secara berseloroh berkata, dia tetap bersyukur kerana masih diberikan peluang membintangi naskhah berkenaan meskipun berat badannya ketika itu mencecah lebih 100 kilogram.
“Saya gemuk dalam filem itu. Pengarah ada minta untuk kecilkan sedikit, tapi saya rasa okey sahaja dengan fizikal ketika itu. Cuma bila tengok balik nampak agak besar.
“Berat saya waktu penggambaran lebih kurang 100 hingga 102 kilogram, tapi sekarang sudah turun kepada 83 kilogram. Kalau dalam Magik Rompak itu memang dah macam peti ais. Tetapi mujurlah ada pengarah mahu ambil saya berlakon masa itu,” katanya berseloroh ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di GSC IOI City Mall, di sini, kelmarin.
Tambah Zul, dia kini mengekalkan berat badan ideal sekitar 83 kilogram bagi memudahkannya melakonkan babak aksi lasak dalam karya akan datang.
“Dengan usia saya sekarang, saya tidak akan biarkan berat badan melebihi 89 kilogram. Kalau ada filem aksi yang memerlukan saya berlawan, ia lebih mudah untuk saya,” ujarnya.
Mengulas pengalaman di set, Zul berkata, dia gembira dapat bekerjasama buat pertama kali dengan Adrian serta barisan pelakon lain.
“Segala proses penggambaran berjalan lancar tanpa sebarang cabaran besar. Adrian ada cara tersendiri ketika mengarah dan saya seronok bekerjasama dengan barisan pelakon hebat,” katanya.
Selain Zul, Magik Rompak yang akan menemui penonton di pawagam bermula 11 September ini turut menampilkan Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Amelia Henderson, Yasmin Hani, Fabion Loo, Miller Khan dan ramai lagi.