Petaling Jaya: Selepas kejayaan menggegarkan empat kota besar di Indonesia, siri jelajah muzik Tur SAMA SAMA kini bakal menjejakkan kaki ke Malaysia bersama lima bintang besar industri muzik Nusantara iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf.
Kelima-lima penyanyi ini akan berkongsi pentas di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025, mempersembahkan lagu-lagu popular mereka kepada peminat setia tanah air.
Ketika menutup konsert di Bogor pada 24 Mei lalu, Tulus mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi destinasi seterusnya dalam siri jelajah ini, sekali gus merealisasikan janji mereka kepada peminat tempatan.
Impian lima sekawan itu akhirnya direalisasikan menerusi anjuran bersama PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu dan Thrive.
“Selepas mendapat sambutan hangat di Indonesia, semestinya Tur SAMA SAMA yang bakal berlangsung ini menjadi sebuah mimpi besar yang ingin kami realisasikan,” ujar Udzir Harris dari Thrive.
Menurut Bram Tulong dari ExpoIndo, mereka menjanjikan konsep persembahan kolaborasi yang luar biasa kerana menyedari apresiasi tinggi peminat terhadap barisan penyanyi tersebut.
Penyanyi lagu Gala Bunga Matahari, Sal Priadi pula berkata, dia dan rakan-rakan tidak sabar untuk mempersembahkan muzik mereka dengan cara berbeza di pentas Tur SAMA SAMA.
“Kami sangat tidak sabar untuk berkongsi persembahan dalam format kolaborasi yang tidak pernah kami lakukan di pentas selain Tur SAMA SAMA,” katanya.
Penonton bukan sahaja bakal menikmati lagu-lagu popular setiap penyanyi, malah akan disajikan dengan format berbeza seperti solo, duet, trio hingga kuintet.
Lebih menarik, para pemuzik juga akan bertukar lagu antara satu sama lain serta mempersembahkan susunan baharu yang dicipta khas untuk siri jelajah ini.
Sebelum ini, Tur SAMA SAMA telah menerima sambutan di luar jangkaan ketika menjelajah ke Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor.
Tiket pra-jualan telah dibuka secara rasmi pada 29 September 2025 dengan harga bermula serendah RM228.