Kuala Lumpur – Kembali selepas enam tahun, penyanyi kerohanian terkenal dunia, Maher Zain disambut oleh lebih 5,000 peminat tanah air pada konsert ‘The Journey To The Far East: Maher Zain — The Live Experience’ disini, Sabtu lalu.
Ribuan peminat sudah mula memenuhi Idea Live Arena, 3 Damansara sejak lewat petang, terdiri daripada remaja, pasangan muda, serta keluarga yang hadir bersama anak-anak.
Malam tersebut dimulakan dengan karya ikonik beliau ‘Assalamu Alayka’ yang serta-merta menukar suasana dewan menjadi lautan suara yang bergema serentak.
Menurut penyanyi asal Lebanon itu, Malaysia akan sentiasa mendapat tempat yang istimewa dalam hatinya dan jika berkesempatan beliau ingin kembali lagi.
“Malam ini saya sungguh tersentuh. Malaysia akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati saya. Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Insya-Allah, saya akan kembali lagi’, ujarnya penuh rasa terharu.
Konsert tersebut mencapai kemuncaknya apabila ribuan peminat yang hadir menyanyi bersama-sama sebelum penyanyi berusia 44 tahun itu menutup konsertnya dengan lagu ‘Ya Nabi Salam Alayka’.
Menurut Pengerusi dan Pengasas Yayasan Tengku Abdullah (YTA), YM Tengku Shaheera Tengku Tan Sri Abdullah, mereka amat berbesar hati dapat menganjurkan konsert sulung ini bersama Maher Zain.
“Beliau merupakan seorang artis yang karya muziknya mendalami nilai serta mesej yang seiring dengan pendirian Yayasan Tengku Abdullah.
“Konsert ini adalah cerminan iman, kemanusiaan, dan kasih sayang.Apabila kita menyaksikan ribuan orang berhimpun di bawah satu bumbung untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia adalah satu peringatan bahawa muzik mampu menyatukan hati”, katanya.
Antara lagu yang turut dipersembahkan termasuk ‘InshaAllah’, ‘Alayka Salla Allah’, ‘Baraka Allahu Lakuma’, ‘Close To You’ dan ‘For The Rest of My Life’.