Kod pendaftaran luar negara punca lagu Old Love gagal raih kemenangan AIM24- RIM - Utusan Malaysia

Kod pendaftaran luar negara punca lagu Old Love gagal raih kemenangan AIM24- RIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan berhubung kategori Lagu Paling Tinggi Distrim Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat dunia muzik tanah air.

Menurut Pengerusi RIM merangkap Jawatankuasa Penganjur AIM 24, Rosmin Hashim,pemenang bagi kategori berkenaan ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman yang dibekalkan oleh penyedia data pihak ketiga melalui proses automatik.

Katanya, disebabkan itu, ia tidak melibatkan sebarang campur tangan manual.

Bagaimanapun, lagu Old Love nyanyian Yuji dan Putri Dahlia tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM, iaitu carta rasmi mingguan yang menyenaraikan lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia.

Perkara itu katanya berlaku akibat isu teknikal membabitkan pendaftaran kod ISRC (International Standard Recording Code).

“ISRC merupakan pengenal pasti unik dan kekal bagi setiap rakaman muzik. Ia berfungsi seperti cap jari digital untuk tujuan penjejakan jualan, penstriman dan royalti di seluruh dunia.

“Bagi sesebuah lagu dikenalpasti sebagai keluaran tempatan Malaysia, kod ISRC mestilah bermula dengan awalan negara MY.

“Dalam kes Old Love, ia telah didaftarkan dengan tiga ISRC berbeza yang menggunakan awalan luar negara seperti SE, TL dan QZ,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Rosmin,disebabkan itu, lagu tersebut tidak dapat dikenalpasti secara automatik sebagai rakaman tempatan, sekali gus tidak dimasukkan dalam Carta Domestik RIM.

Situasi ini menjelaskan mengapa Old Love, walaupun mencatat jumlah penstriman tinggi, tidak dipertimbangkan untuk kategori Lagu Paling Tinggi Distrim AIM24.

Sehubungan itu, katanya, RIM menegaskan kepentingan mendaftarkan kod ISRC melalui pihaknya bagi memastikan rakaman muzik Malaysia menerima pengiktirafan sewajarnya dalam carta rasmi industri serta anugerah muzik tempatan.

“RIM menggalakkan label, pengedar dan artis bebas untuk bekerjasama dalam pendaftaran kod ISRC dengan awalan negara MY.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan isu sama berulang, selain menjamin penonjolan muzik dan artis tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa,”jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN