KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azharina Azhar, tidak menolak sekiranya ditakdirkan untuk kembali berumah tangga, namun dalam masa sama mengakui tidak kisah andai jodoh tidak hadir kerana percaya soal itu adalah ketentuan Tuhan.
Menurut juara Gegar Vaganza muzim ke-3 itu, selepas 17 tahun hidup bergelar ibu tunggal, keutamaan hidupnya kini bukan lagi mencari pasangan.
Kata Azharina, sebaliknya memastikan anak-anak serta kerjaya seninya terus terpelihara.
“Selepas sekian lama menjanda, saya tidak kisah sama ada akan berkahwin lagi atau tidak. Kalau ada yang datang, datanglah. Kalau tak ada pun, tak apalah.
“Saya terima dengan reda sebab saya percaya jodoh semua di tangan Allah. Saya tak mahu stres memikirkan perkara yang berada di luar kawalan saya.
“Atau mungkin juga sebenarnya, jodoh saya belum lahir lagi,”selorohnya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Berkongsi pandangan mengenai jodoh, penyanyi berusia 40 tahun itu berkata, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk tidak terlalu berharap kepada mana-mana lelaki.
Berikutan itu, katanya, dia mahu lebih menumpukan kepada tanggungjawab sebagai ibu kepada dua cahaya mata angkatnya, Rahmat Azharin dan Redha Azharin.
“Buat masa sekarang, fokus hidup saya adalah untuk membesarkan anak-anak. Mereka adalah keutamaan saya. Pada masa sama, saya juga ada tanggungjawab besar terhadap perniagaan dan kerjaya saya dalam bidang seni.
“Jadi, kalau ada lelaki yang datang, dia kena faham saya, bukan sebaliknya.Kebanyakan yang hadir sebelum ini, datang dengan jangkaan sendiri.
“Seolah-olah mahu mengikat atau mengurung saya. Itu yang membuatkan saya tidak selesa. Saya lebih rela sendiri daripada hidup dalam stres,” ujarnya.
Azharina turut berkongsi bahawa arwah bapanya suatu ketika dahulu pernah menolak beberapa calon yang hadir melamarnya. Malah, pesanan terakhir bapanya juga masih segar dalam ingatannya.
“Arwah bapa saya pernah kata, tak payahlah pening-pening fikir pasal lelaki. Fokuslah pada duit, pada hidup sendiri.
“Dia risau lelaki-lelaki akan stres kalau kahwin dengan saya kerana saya seorang yang terlalu aktif, sibuk dengan kerjaya dan sangat mencintai seni. Pesanan itu saya pegang sampai hari ini,” katanya lagi.
Tambah Azharina, walaupun ada pihak beranggapan dirinya seorang yang tegas dan sukar didekati, hakikatnya dia seorang wanita biasa yang masih percaya pada cinta.
Bagaimanapun, dia lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lama.
“Saya bukan menutup hati, cuma saya lebih banyak belajar untuk menerima takdir. Kalau Tuhan kata ada jodoh untuk saya, saya akan terima dengan syukur.
“Kalau tidak ada pun, saya reda. Saya percaya setiap orang ada rezeki dan bahagian masing-masing,” jelasnya.