Jika ibu bapa sudah tiada, tanggungjawab jaga adik autisme jatuh di bahu saya - Arena Lieya

Jika ibu bapa sudah tiada, tanggungjawab jaga adik autisme jatuh di bahu saya – Arena Lieya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Arena Lieya Wan, 26, mengakui tidak mampu menipu diri bahawa kebimbangan tetap bersarang di hatinya apabila memikirkan andai suatu hari nanti ibu bapanya tiada lagi.

Ini kerana, luah Arena, sekiranya keadaan itu berlaku, tanggungjawab menjaga adiknya, Adam, yang merupakan anak autisme akan jatuh sepenuhnya di bahunya.

Menurut Arena, meskipun Adam telah banyak mengajarnya tentang kesabaran, kasih sayang serta cara melihat dunia dengan perspektif berbeza, hakikat menjaga insan istimewa itu bukanlah suatu perkara mudah.

“Ramai mungkin melihat senyuman dan gelak tawa kami, tetapi di sebaliknya ada saat-saat yang orang luar tidak nampak.

“Letusan emosi, kebimbangan tanpa henti, dan malam-malam di mana kami sekeluarga menangis kerana tidak tahu bagaimana rupa masa depan nanti.

“Sebagai anak sulung, saya memikul beban yang sukar dijelaskan. Ibu bapa saya semakin berusia dan suatu hari nanti, tanggungjawab menjaga Adam pasti jatuh ke tangan saya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.

Selain itu, Arena turut mendedahkan, selain memikirkan soal Adam, dia juga perlu mengambil kira masa depan adik bongsunya, Ara, yang masih memerlukan perhatian.

“Setiap hari saya tertanya-tanya bagaimana saya mampu mengimbangi semuanya. Bagaimana saya boleh jadi cukup untuk semua orang sedangkan saya sendiri masih mencari haluan, kerjaya, dan kehidupan.

“Ada hari saya rasa kuat, ada hari saya rasa sunyi, dan ada juga hari saya dilanda ketakutan.

“Adam tidak ‘semakin pulih’ seperti yang sering diharapkan orang. Autisme tidak akan hilang, ia adalah satu perjalanan seumur hidup,” jelasnya.

Menyentuh mengenai perasaan itu, Arena mengakui kasih sayangnya terhadap Adam tidak pernah berkurangan, namun dalam masa sama timbul rasa gusar terhadap masa depan.

“Saya amat menyayangi adik saya, tetapi saya tidak boleh menipu dengan mengatakan saya tidak takut.

“Saya takut akan masa depan, takut bagaimana saya akan menguruskan segalanya, takut sama ada saya cukup kuat untuk memberikan kasih sayang, kesabaran, dan penjagaan seperti yang telah diberikan oleh ibu bapa saya.

“Saya juga takut dengan kesunyian yang mungkin terpaksa saya hadapi apabila semua tanggungjawab itu akhirnya berada di bahu saya seorang,” ujarnya.

Bagaimanapun, Arena menegaskan perkongsiannya bukan untuk meraih simpati, sebaliknya bagi membuka mata orang ramai tentang realiti sebenar yang dihadapi oleh keluarga yang mempunyai anak autisme.

“Inilah realiti kami. Letusan emosi, kebimbangan, dan momen-momen yang tidak terlihat itu adalah sebahagian daripada kisah kami. Mungkin dengan berkongsi, saya akan berasa sedikit kurang sendirian dalam memikulnya.

“Saya berterima kasih kepada semua yang meluangkan masa membaca, melihat Adam dan keluarga saya, serta memahami bahawa di sebalik senyuman dan kerja saya lakukan, ada satu bahagian kehidupan yang sangat nyata dan sentiasa saya harungi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN