Jika ada duit dan sokongan, saya sedia terjun ke arus politik - Azharina Azhar

Jika ada duit dan sokongan, saya sedia terjun ke arus politik – Azharina Azhar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azharina Azhar, 40, tidak menolak kemungkinan terjun ke dunia politik pada masa depan sekiranya diberikan peluang dan mendapat sokongan masyarakat.

Bagaimanapun, kata Azharina, buat masa ini, dia memilih untuk memberi tumpuan kepada kerjaya seni serta tanggungjawabnya sebagai ibu tunggal.

“Kalau diberi peluang ke bidang politik satu hari nanti, Insya-Allah saya terbuka asalkan ada sokongan ramai,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya, Gunung Kinabalu, di Saprah, di sini semalam.

Menurut penyanyi berasal dari Sabah itu, dia tidak gentar untuk bersuara memperjuangkan hak rakyat meskipun berisiko menerima kritikan atau sekatan.

“Saya buat kerja seikhlas hati. Kalau perjuangan untuk rakyat sampai terpaksa digam sekalipun, saya tidak kisah. Saya berjuang bukan kerana duit semata-mata,” jelasnya.

Azharina turut mendedahkan pernah menerima beberapa tawaran menyertai politik sebelum ini namun menolaknya secara baik kerana belum bersedia.

“Ya, saya pernah ditawarkan sebelum ini untuk sertai politik, tetapi saya rasa belum cukup bersedia. Untuk jadi wakil rakyat, perlukan banyak duit.

“Saya pula bukan orang kaya, cuma seorang ibu tunggal,” katanya lagi.

Mengulas persepsi bahawa artis tidak layak menjadi wakil rakyat, Azharina berkata masyarakat perlu lebih terbuka kerana di Indonesia, ramai selebriti berjaya membawa suara rakyat termasuk penyanyi terkenal Krisdayanti.

Dalam pada itu, Azharina turut menjadikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi Bella Astillah sebagai inspirasi.

“Sepanjang bersama Syed Saddiq, Bella banyak membantu mendapatkan dana untuk rakyat di Muar. Itu contoh yang baik untuk kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azharina melancarkan single terbaharunya berjudul Gunung Kinabalu yang merupakan duet bersama Daniesh Suffian.

Lagu tersebut dilancarkan sempena sambutan Hari Malaysia pada 3 September lalu dan kini boleh distrim di semua platform digital utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN