Cristina Suzanne pelakon paling popular di Festival Filem Asia Kemboja

Cristina Suzanne pelakon paling popular di Festival Filem Asia Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Cristina Suzanne mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pelakon Paling Popular di Festival Filem Asia Kemboja Ketiga yang berlangsung di Koh Pich, Phnom Penh, kelmarin.

Cristina menerima pengiktirafan berprestij itu menerusi lakonannya yang penuh penghayatan sebagai Hayati dalam filem berjudul Babah.

Pencapaian ini bukan sahaja mendapat pujian pengkritik, malah turut mengukuhkan kedudukan Cristina sebagai antara pelakon berbakat besar di rantau ini.

Cristina dalam ucapannya turut menzahirkan rasa syukur serta mendedikasikan kemenangan tersebut kepada seluruh pasukan produksi.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk seluruh pasukan Babah yang telah bekerja keras dan berdedikasi sehingga ia menjadi kenyataan.

“Saya sangat berbangga dapat membawa pengiktirafan ini pulang, dan saya menerimanya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia,”katanya.

Sementara itu, penerbit filem tersebut, Nadia Mohd Nadzri mewakili Nads Media Entertainment turut menzahirkan rasa bangga atas kemenangan Cristina Suzanne.

Lebih manis, kejayaan ini hadir melalui filem sulung syarikat tersebut.

“Kemenangan ini bukan sahaja satu pengiktirafan kepada bakat luar biasa Cristina, tetapi juga bukti bahawa karya pertama kami mampu memberi kesan dan diterima baik oleh penonton di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini telah menyuntik semangat besar kepada seluruh pasukan produksi untuk terus berkarya dengan lebih berani.

“Nads Media percaya bahawa industri filem tempatan memiliki bakat, kreativiti, dan potensi yang tinggi untuk bersaing di pentas global.

“Dengan pencapaian ini juga, kami berharap lebih banyak peluang kolaborasi antarabangsa dapat diteroka, sekali gus mengangkat nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, hari ini.

Tidak cuma itu, kata Nadia, kemenangan Babah turut dianggap sebagai penghargaan terhadap usaha keras semua yang terlibat daripada pelakon, kru, penulis, sehinggalah ke barisan penerbit yang telah mencurahkan komitmen tanpa mengenal lelah.

Dengan kejayaan di Festival Filem Asia Kemboja kata, Nadia, Babah membuktikan bahawa filem Malaysia berupaya mencipta impak di peringkat antarabangsa.

Festival Filem Asia Kemboja merupakan sebuah platform utama yang meraikan sinema Asia, menghimpunkan pengarah, pelakon, serta penggiat industri dari seluruh rantau.

Filem Babah arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim dianggap naskhah sarat emosi yang mengetengahkan kisah kekeluargaan, kasih sayang dan pengorbanan seorang bapa.

Filem yang ditayangkan tahun lalu itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Qi Razali, Sweet Qismina, Adam Lee dan Kis Aisha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN