KUALA LUMPUR: Paling dinanti ramai, pelakon, Fattah Amin, akhirnya mengesahkan status hubungannya dengan penyanyi dan pelakon, Amira Othman, setelah bermain teka-teki dengan semua pihak sebelum ini.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, membuat kejutan istimewa di majlis pelancaran single terbaru Amira dan adiknya, Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir.
Pada majlis yang sama, pasangan itu turut mengumumkan bahawa hubungan mereka itu juga bakal menerjah ke fasa lebih serius.
Difahamkan, pasangan itu bakal diijabkabulkan di sebuah hotel di Johor Bahru pada 14 September ini yang juga merupakan tarikh kelahiran aktor itu.
Acara tersebut turut disaksikan oleh ibu bapa Amira iaitu Othman Abdul Kadir, 62 dan Nora Arshad, 58.
Sebelum ini, kecoh di media sosial mendakwa pelakon Fattah Amin bakal menamatkan zaman duda dalam waktu terdekat.
Khabar tersebut didedahkan oleh seorang pengguna Threads iaitu Kimchikims_ yang mendakwa dia mendapat maklumat itu daripada sumber boleh dipercayai.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres Fazura pada 27 November 2017 dan disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.