KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, menyentuh hati peminat apabila berkongsi luahan rasa dan doa khas buat ibu bapanya.
Menurut Amira, ketika majlis pernikahannya dengan Fattah Amin berlangsung baru-baru ini, dia sudah merancang untuk meminta rakan artis, Raqib Majid, untuk membacakan doa khas buat kedua orang tuanya itu.
“Saya terlalu suka doa ini. Sangat bermakna iaitu ‘Ya Allah ampunkanlah segala dosa ibu dan ayahku, kasihani mereka seperti mereka menjagaku’.
“Kalau cerita pasal mak ayah ini memang tak akan tak akan habis. Sampai mati mereka adalah syurga kita. Tak akan boleh beli di mana-mana,”katanya.
Mengimbas kembali jasa ayahnya, Amira menegaskan segala tutur kata, tingkah laku dan cara berfikir yang diamalkan hari ini banyak diasuh oleh bapanya yang tidak pernah jemu menasihati agar sentiasa bersangka baik dan menjadi insan berguna.
“Abah banyak ajar saya, apa yang saya buat hari ini apa yang saya cakap hari ini, apa yang saya fikir hari ini, abahlah yang banyak ajar dan didik saya.
“Saya sentiasa ingat abah pesan untuk selalu sangka baik selalu buat baik selalulah jadi orang baik. Mama pula adalah orang yang
sentiasa doakan saya, sentiasa saya mohon doa walau sekecil zarah urusan hidup saya sebab saya yakin doa ibu tiada hijab.
“Macam-macam keajaiban dengan doa ibu ni.’ Ya Allah, moga ibu bapa kita dikurniakan Syurga tanpa hisabmoga kita dapat jadi anak anak yang sentiasa membahagiakan kedua dua ibu bapa kita agar bila kita ada anak nanti kita juga akan disayangi dihargai oleh anak-anak kita,”katanya.
Selain itu, Amira juga menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa setiap perkongsiannya di podcast atau media mempunyai skrip rapi.
“Semua ayat-ayat saya adalah apa yang saya faham tentang hidup. Kerana abah banyak ajar dan fahamkan saya bahawa banyak lagi yang harus saya belajar.
“Sebab saya pun buat salah dan silap tapi saya yakin, jika ibu ayah reda maka Allah juga reda, Insya-Allah,”ujarnya.