Danish Hakim batal hasrat terjun bidang seni - Utusan Malaysia

Danish Hakim batal hasrat terjun bidang seni

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Danish Hakim yang juga anak kepada pelakon terkenal, Norman Hakim dan penyanyi, Abby Abadi mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hasratnya menceburi bidang seni, khususnya dalam dunia lakonan.

Menurut Danish, pada awalnya dia tidak menolak pernah berhasrat untuk mencuba nasib dalam bidang seni.

Bagaimanapun, selepas menilai semula dan berfikir panjang, dia memilih untuk menarik diri buat sementara waktu.

“Saya memang ada kata mahu cuba bidang lakonan, tetapi buat masa ini saya tarik balik dahulu. Antara sebabnya, saya nampak ada perkara-perkara toksik dalam industri hiburan yang tidak sesuai dengan diri saya.

“Pada mulanya saya sangka semuanya menyeronokkan, tetapi apabila baru melangkah sedikit, saya sudah mula nampak sisi lain yang kurang menyenangkan.

“Jadi saya fikir lebih baik saya undur diri sebelum pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di Viu Royal Night baru-baru ini.

Tambah Danish, keputusan itu dibuat atas pertimbangan sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

Malah, katanya, dia juga mendapat sokongan penuh daripada kedua-dua ibu bapanya.

“Ramai yang cakap saya patut terjun ke dunia seni, tetapi akhirnya semua keputusan bergantung kepada saya sendiri.

“Mak dan ayah okey sahaja, mereka tidak galakkan pun. Apa sahaja keputusan saya, mereka sokong,” ujarnya.

Buat masa ini, Danish berkata, dia mahu memberi tumpuan kepada bidang kecergasan (fitness) yang lebih dekat di hatinya, namun tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke dunia seni pada masa akan datang.

“Ada kemungkinan saya akan kembali satu hari nanti, tetapi saya tidak tahu bila. Sekarang fokus saya hanya pada fitness,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN