Kuala Lumpur – Penyanyi rap dan hip hop, Asyraf Nasir kini kembali dengan single terbaharu, “CINDERELLA’’ buat para peminat.
Ujar Asyraf, lagu ini mengetengahkan sebuah kisah dongeng moden penuh keyakinan tanpa kasut kaca seperti kisah dongeng asalnya.
‘’CINDERELLA adalah untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir, tetapi tahu dalam hati bahawa mereka punya sesuatu yang istimewa.
Lagu ini tentang keyakinan, tentang tiba-tiba semua mata memandang, dan anda menikmatinya sepenuhnya.’’ ujarnya.
Tambah pelantun lagu Virus itu lagi, lagu ini dihasilkan dalam masa hanya dua hari iaitu sebahagian besarnya menggunakan rakaman ‘first take’ atau rakaman pertama.
Jelas Asyraf, bekerja dengan SonaOne selaku penerbit dan rakan kolaborasi, menurut Asyraf, adalah pengalaman yang membuka mata.
‘’Kita tak overthink. Apa yang anda dengar adalah hasil tangkapan babak sebenar. Jujur dalam cara terbaik.
“Dia tahu bila nak bina ruang dan bila nak naikkan tenaga. Rasanya macam main ping- pong idea — saya lempar, dia balas, dan tiba-tiba lagu ni jadi hidup.’’ katanya.
Menariknya, bunyi ‘eccentric synth piano’ yang membuka lagu ini sebenarnya diambil daripada sebuah lagu lama Malaysia yang diolah semula dengan sentuhan moden.
“CINDERELLA” sebenarnya bermula sebagai demo pada tahun 2020.
“Kita perbaiki adunan muzik, tapi kita kekalkan rasa asal. Saya percayakan KidKenobi untuk hasil akhir. Fakta menarik: Tajuk asal lagu ini ialah “Condifento.’’ ujarnya.
Dengan “CINDERELLA”, Asyraf bukan sahaja mengetengahkan sisi baharunya, malah membuktikan bahawa kisah dongeng juga boleh hadir dengan rentak hip hop, penuh keyakinan dan gaya tersendiri.
CINDERELLA telah berada di semua platform digital bermula 8 Ogos 2025.