KUALA LUMPUR: Penyanyi terkemuka tanah air, Anuar Zain, sebak apabila mengenang pengorbanan bapanya Allahyarham Zin@ Zain Abdullah dalam membesarkan anak-anak ketika hayatnya masih ada.
Menurut Anuar, dia menyifatkan arwah sebagai seorang lelaki yang memiliki semangat dan ketabahan luar biasa kerana sanggup berkorban demi memastikan keselesaan anak-anak biarpun keluarga mereka hidup secara sederhana.
“Abah seorang yang mempunyai semangat dan ketabahan luar biasa. Sejak kecil, saya tidak pernah rasa susah walaupun kami datang daripada keluarga yang sederhana.
“Duit sekolah sentiasa ada, makanan tidak pernah putus, baju raya sentiasa lengkap setiap tahun. Walau dalam kesusahan, abah tidak pernah bersuara mengeluh,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediaman arwah, semalam.
Menurutnya, dia dan adik-beradik hanya mengetahui kesusahan arwah selepas dewasa apabila mendengar cerita tentang pengorbanan bapanya yang membesarkan lima orang anak dengan penuh tanggungjawab.
“Bayangkan, membesarkan lima orang anak dengan penuh keikhlasan, hanya bergantung kepada kerjaya dan gaji yang ada.
“Kadang-kadang, abah menyanyi dan menulis pantun untuk menambah pendapatan, semata-mata untuk anak-anak. Dia sanggup berkorban, tidak menukar baju sendiri, tetapi pastikan anak-anak cukup keperluan,” ujarnya.
Anuar berkata, arwah juga seorang yang berdikari hingga ke usia 82 tahun, tetap mahu melakukan urusan harian sendiri tanpa menyusahkan anak-anak.
“Abah seorang yang berdikari sehingga ke usia 82 tahun. Dia masih mahu ke pasar sendiri, ambil ubat sendiri tanpa menyusahkan anak-anak. Sampai ke akhir hayat pun, dia masih risaukan kami, takut menyusahkan kami.
“Abah garang, tapi kami sedar selepas dewasa, garangnya itu mendidik kami jadi manusia yang berjaya. Dia seorang ayah yang penyayang, bertanggungjawab, dan sentiasa mengambil berat.
“Walaupun kesihatan tidak mengizinkan, dia tetap bertanya khabar, tetap ambil tahu tentang kehidupan anak-anak,” katanya.
Tambah Anuar, arwah turut disenangi ramai kerana sifat rendah diri dan keperibadiannya yang baik terhadap orang sekeliling.
“Ramai orang suka pada abah. Dia disenangi oleh rakan-rakan artis, kenalan lama, dan sesiapa yang mengenalinya. Abah seorang yang tidak pernah mengajar kami untuk menilai atau menghukum orang lain. Dia selalu pesan, jangan kacau orang, jangan buat orang susah.
“Hidup kita, kita urus. Hidup orang, biar mereka urus. Rumah kami sentiasa menerima tetamu, pelbagai ragam manusia, dan abah tetap melayan semua dengan baik,” katanya.
Selain itu, kata Anuar, pesan arwah tentang kepentingan untuk sentiasa ikhlas akan terus menjadi pegangan mereka sekeluarga.
“Pesanan abah yang paling kami ingat, sentiasa ikhlas. Baik dengan diri, dengan orang, dan dalam apa sahaja yang kita lakukan. Dia juga selalu pesan supaya jangan kedekut.
“Kalau orang susah, bantu setakat yang mampu. Abah percaya manusia yang baik adalah manusia yang memberi, bukan mengambil. Dia selalu bercakap tentang sedekah dan amalan jariah. Itu prinsip hidupnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anuar turut berkongsi bahawa arwah bapanya itu sering berkata dia tidak mampu menyaksikan persembahan dia dan Ziana kerana terlalu sedih melihat kesusahan anak-anak di pentas.
“Walaupun abah tak sempat melihat banyak konsert kami, dia tetap mendoakan. Saya ingat lagi ketika konsert pertama saya pada 2013, abah datang, tetapi menangis, dia sedih kerana tak sanggup lihat susah payah kami.
“Setiap kali pun begitu, jadi saya kata kalau abah tak datang pun tak apa, cukup kalau dia doakan sahaja. Doa itu yang saya dan anak-anak lain mahukan,” katanya.
Allahyarham Zin menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediaman keluarganya di Subang Permai, Selangor, sekitar jam 2.50 petang.
Jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina kira-kira jam 7 malam.