KUALA LUMPUR : Pempengaruh dan usahawan popular, Christy Ng, mengakui dirinya sering disalah anggap sebagai individu berperwatakan serius dan sukar didekati sebelum ini.
Bagaimanapun, kata Christy, kini persepsi tersebut berubah selepas kemunculannya bersama kumpulan konten kreatif, The Bengap Brothers.
Menurut Christy, ramai yang menyangka dirinya berusia lebih 50 tahun kerana wajahnya yang kelihatan serius namun hakikatnya, dia merupakan seorang yang ceria dan ‘gila-gila’ apabila bersama rakan kontennya itu.
“Saya sebenarnya santai dan suka bergurau. Kehadiran The Bengap Brothers membuatkan sisi jenaka saya lebih terserlah.
“Itulah kelebihan media sosial, orang dapat melihat sisi berbeza saya dan juga pekerja-pekerja lain,” katanya.
Christy mengakui pada awal pembabitannya sebagai pencipta kandungan, dia berasa kekok namun mula selesa selepas membiasakan diri.
Katanya, semua idea dan konsep dihasilkan secara bersama dengan tujuan menyampaikan mesej positif kepada warganet.
Fenomena The Bengap Brothers bermula selepas video parodi filem Blood Brothers menjadi tular.
Menurut Christy, kesemua ahli kumpulan tersebut merupakan pekerja sepenuh masa di syarikatnya, malah ada yang telah bersamanya selama sedekad.
“Muka mereka mungkin bukan seperti Brad Pitt, tetapi ada daya tarikan tersendiri yang mudah diingati. Di belakang kamera, perangai mereka lebih lucu dan ‘bengap’ daripada yang orang nampak,” ujarnya.
Christy tidak menolak kemungkinan untuk menceburi bidang lakonan selepas melihat sambutan positif terhadap kandungan media sosial mereka selain yakin pasukannya mampu menyumbang idea segar kepada industri hiburan tempatan.
Sementara itu, mengenai pembukaan semula butik MyTown Cheras, Christy berkata ia adalah salah satu cawangan terawal jenamanya yang kini diberi wajah baharu lebih moden dan eksklusif.
“Saya masih ingat ketika butik ini hanya mencatat jualan RM50 sehari. Kini ia antara cawangan paling berjaya. Kami mahu butik ini menjadi lebih daripada sekadar tempat membeli-belah, sebaliknya menawarkan pengalaman yang menggambarkan perkembangan jenama,” katanya.
Selepas kejayaan butik utama di Jakarta pada Februari lalu, Christy bakal meluaskan empayar ke pasaran Filipina dengan pembukaan butik di Manila pada Oktober ini.
Ia sekali gus membawa jenama Malaysia ke pentas Asia Tenggara dan seterusnya peringkat antarabangsa.