KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Shaheizy Sam, tidak menolak bahawa anak bongsunya, Salama Samheizy, 3, mempunyai bakat semula jadi dalam dunia seni berikutan keletahnya yang menghiburkan serta karakter yang terserlah sejak kecil.
Menurut Sam, Salama memiliki personaliti yang unik dan berbeza berbanding abang serta kakaknya kerana gemar berimaginasi dan hidup dalam dunianya sendiri.
“Sarima macam abang dia juga. Memang jenis yang tenang, tapi ada karakter tersendiri. Dia suka layan diri. Tetapi kalau Salama, dia lain. Dia suka menari, perasaan dia memang macam diva. Dia ada groove dan attitude,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Sam berkata, sejak kecil lagi Salama menunjukkan kecenderungan terhadap aktiviti seni, malah sering menari dan beraksi penuh perasaan.
“Saya perasan dia memang suka gaya begitu. Kalau menari, dia buat macam betul-betul atas pentas.
“Feeling dia macam, ‘Akulah diva.’ Itu yang membuatkan saya dan isteri rasa dia ada bakat.
“Kalau di rumah pun, dia memang pandai berdrama. Kadang-kadang buat-buat menangis semata-mata nak tarik perhatian. Kita tahu itu pura-pura, tapi itulah dia. Memang penuh karakter,” katanya sambil ketawa.
Menariknya, Sam tidak menolak kemungkinan bakat itu diwarisi daripada nenek Salama yang sememangnya gemar menghiburkan cucu-cucunya sejak mereka kecil.
Dalam pada itu, mengulas mengenai masa depan anaknya, Sam menegaskan bahawa dia tidak pernah menghalang sekiranya Salama mahu pun anak-anaknya yang lain ingin menceburi bidang hiburan apabila dewasa kelak.
“Kalau dia minat, kenapa tidak? Kalau pandai bawa diri dan bijak memasarkan diri, saya tak halang pun.
“Bagi saya bidang seni bukanlah sesuatu yang buruk. Saya percaya bila dia besar nanti, industri filem kita akan lebih hebat daripada sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, Sam menegaskan dia tidak akan memaksa anaknya kerana minat dan bakat perlu datang secara semula jadi.
“Kalau dia tak minat, tak perlulah. Zaman kita dulu, keluarga banyak tekankan kena jadi doktor, kena jadi jurutera.
“Tapi kalau tak ada minat, kita akan buat tanpa jiwa. Saya lebih suka kalau mereka buat sesuatu yang benar-benar mereka suka dan dengan sepenuh hati,” ujarnya.
Shaheizy Sam dan isterinya, pelakon Syatilla Melvin, mendirikan rumah tangga pada 2016.
Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, Sarima Samheizy dan Salama Samheizy.